Teong Kim dalam radar TRW

Teong Kim dalam radar TRW

Norizam (kiri) bersama Nik Hafiz Naim selepas menandatangani pemilikan saham TRW FC pada sidang media Majlis Menandatangani Pemilikan Saham The Red Warriors FC Berhad ketika di Hotel Zamburger pada Jumaat. – Foto Bernama

BEKAS Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim antara nama yang berada dalam pertimbangan kelab bola sepak Kelantan bagi dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan itu menjelang saingan Liga Super 2023.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, pihaknya turut melihat potensi Teong Kim untuk dilantik sebagai Pengarah Teknikal pasukan.

Beliau berkata, selain Teong Kim pihaknya juga sedang meneliti lebih kurang 10 jurulatih lain antaranya dari Eropah dan negara kuasa besar bola sepak Asia seperti Jepun dan Korea Selatan bagi membimbing pasukan menghadapi cabaran hebat musim depan.

“Memang tak mustahil (jadi Pengarah Teknikal), sebenarnya tak mustahil juga dia jadi ketua jurulatih Kelantan FC musim depan….kami pernah berbual menerusi telefon tapi belum bersua muka. Setakat ini, tiada yang konkrit (bersama Teong Kim).

“Kelantan FC memang ada hasrat mendapatkan jurulatih terbaik, jadi kita tengah menilai mana yang terbaik untuk jadi pengendali pasukan dan Teong Kim salah seorang daripada 10 calon lain,” katanya ketika ditemui pada majlis Menandatangani Pemilikan Saham The Red Warriors FC Berhad pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Norizam berkata, perkara yang menjadi keutamaan adalah jurulatih The Red Warriors (TRW) dilantik mesti mempunyai persefahaman yang baik bersama dirinya supaya visi dan misi pasukan dapat dijayakan.

“Ketua jurulatih yang mempunyai status luar biasa tetapi kalau tiada chemistry yang baik dengan pemilik pun tak boleh jadi juga,” katanya.

Sebagai rekod, Teong Kim mula dilantik sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) pada 2013 sebelum memegang jawatan sebagai Pengarah AMD pada 2016.

Namun, tugasnya sebagai Pengarah Teknikal NFDP ditamatkan susulan kegagalan skuad Bawah 16 Tahun (B-16) kebangsaan layak ke Piala Dunia B-17 2019 sebelum kontraknya selaku Pengarah AMD tidak dilanjutkan.

Majlis hari ini menyaksikan Kelantan FC mengumumkan Presiden Skyrian Sdn Bhd, Nik Hafiz Naim Nik Hassan sebagai pemegang lima peratus saham The Red Warriors FC Berhad membabitkan nilai RM3 juta.

Norizam berkata, perkembangan tersebut membuktikan masyarakat yakin dengan industri bola sepak Kelantan.

“Ini benda baik sebab bila ada pelabur akan ada bisnes…Insya-ALLAH semua ini akan jadi salah satu sumber modal untuk memperkuat pasukan bagi mencapai misi dan visi ditetapkan,” katanya sambil mengakui masih terdapat baki 15 peratus saham untuk direbut individu berminat. – Bernama

Scroll to Top