Gaza: Israel menunaikan janji mereka dengan menarik diri dari koridor Netzarim iaitu zon ketenteraan yang memisahkan Gaza menjadi dua wilayah.
Pengunduran sebagai sebahagian daripada komitmennya dalam perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.
Ratusan ribu rakyat Palestin dilapor melintasi kawasan itu, dengan ramai antara mereka kembali ke rumah yang musnah di utara secara berjalan, menggunakan kereta dan ada juga menunggang keldai.
Mereka yang melintasi koridor itu masih perlu melalui sekatan dan sisa kemusnahan yang disebabkan oleh serangan udara Israel selama 15 bulan.
“Saya sudah berpindah lama dahulu. Kini saya melihat ramai orang tiba di jalan ini, ada yang tidur di tepi jalan sementara menunggu tentera Israel untuk berundur.
“Saya berharap tentera Israel berundur dari seluruh Gaza dan kehidupan kami kembali normal,” kata penduduk Gaza, Osama Saleem, yang menunggu kenderaannya diperiksa.
Hamas dalam kenyataan berkata, tentera Israel sudah menarik diri sepenuhnya dari koridor itu, jalan sepanjang enam kilometer yang memisahkan utara wilayah Gaza dan selatan serta sempadan Israel-Gaza ke Laut Mediterranean.
Koridor yang dinamakan sempena penempatan Israel terdahulu di Netzarim di Gaza, dibina dan diduduki oleh tentera Israel sebagai laluan strategik rejim ke semenanjung.
“Penarikan tentera penjajah Zionis dari paksi Netzarim adalah kemenangan untuk rakyat kami,” kata kenyataan Hamas yang dikeluarkan pada Ahad yang dilapor CNN.
Tiada pengesahan daripada Israel, tetapi wartawan CNN di lapangan mengatakan tiada tentera negara itu berada di tempat pemeriksaan pada Ahad.
© New Straits Times Press (M) Bhd