Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akhirnya bersuara mengenai spekulasi keahliannya dalam UMNO.
Menurut laporan Harian Metro, sebarang keputusan mengenai hala tuju politiknya akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat.
Saya kena sampaikan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid terlebih dahulu.
Spekulasi tinggalkan UMNO dan tawaran sertai PKR

Sebelum ini, desas-desus bertiup kencang bahawa Tengku Zafrul bakal meninggalkan UMNO kerana dikatakan tiada lagi masa depan dalam parti tersebut. Malah, laporan media turut menyebut bahawa beliau pernah dipelawa menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) beberapa bulan lalu.
Namun, sehingga kini, beliau masih belum mengesahkan sebarang keputusan berkaitan perkara tersebut.
Bakal jadi Duta Besar Malaysia ke AS?

Selain isu politik, nama Tengku Zafrul juga dikaitkan dengan cadangan supaya beliau dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat selepas penggalnya sebagai senator berakhir Disember depan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perkara itu terpulang kepada Perdana Menteri dan buat masa ini, fokus utamanya adalah meneruskan tugas di kementerian serta memainkan peranan dalam menjayakan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
#ApaKataOhmedia
Dalam dunia politik, apa saja boleh berubah dalam sekelip mata. Apa pun keputusan Tengku Zafrul, yang penting adalah keberanian untuk berpegang pada prinsip dan terus berkhidmat untuk rakyat.
