Kuala Lumpur: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengetuai delegasi Malaysia ke Washington hujung bulan ini untuk membincangkan tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia.
Beliau akan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI Mastura Ahmad Mustafa serta para pegawai lain dari kementerian tersebut. Wakil MITI di Kedutaan Malaysia di Washington juga akan menyertai delegasi tersebut.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia komited memilih perbincangan secara baik dan membina sambil terus melindungi kepentingan negara di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin meningkat akibat daripada pelaksanaan tarif yang diumumkan Presiden AS Donald Trump pada 2 April lalu.
“Pendirian Malaysia, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah kita perlu bertenang dan pada masa yang sama mengadakan perbincangan dan memahami isu yang kita rasa tidak adil terhadap Malaysia.
“Kami tidak mahu melihat peningkatan perang perdagangan kerana ia tidak akan menguntungkan sesiapa.
“Itu pandangan kita. Kita akan meneruskan perbincangan kita. Kumpulan kita di Washington sudah pun memulakan usaha di sana.
“Kami mengadakan mesyuarat di Washington dan juga mesyuarat di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” katanya kepada media di sini, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd