Tempah Mierul Aiman 10 bulan awal

Tempah Mierul Aiman 10 bulan awal

“BANYAK tawaran datang serentak, saya perlu buat pilihan tepat.”

Pelakon meningkat naik, Mierul Aiman, bukan sengaja mahu melepaskan setiap tawaran yang diterima. Tapi disebabkan faktor masa dan ruang yang menghambat, jejaka asal Putrajaya ini perlu menimbang keputusan terbaik memilih tawaran yang benar-benar boleh menonjolkan sisi lakonannya.

Rezeki buat anak sulung daripada dua beradik ini melimpah ruah, bahkan ada produksi yang sanggup menempahnya beberapa bulan awal kerana percaya hanya seorang Mierul Aiman yang boleh menjayakan naskhah dalam simpanan mereka.

“Bagi saya, industri ini taman permainan saya. Sayalah yang bertanggungjawab untuk mencipta keseronokkan itu.

“Dalam lakonan, bukan platform mana yang perlu saya fikir atau bahaskan. Tapi naskhah bagaimana yang boleh mengangkat bakat dan kebolehan saya. Tapi atas faktor kekangan ruang, saya tidak boleh ambil semua tawaran.

“Kadangkala ada tawaran yang datang serentak tiga naskhah sekali gus. Jadi ada produksi yang sudah menempah saya 10 bulan awal.

“Contohnya untuk projek bulan empat tahun hadapan, mereka sudah maklumkan untuk tempah saya pada bulan ini,” katanya yang kini sedang dalam penggambaran drama Anak-anak Mafia untuk TV3.

Ditanya apakah faktor yang menjadi pertimbangannya sebelum membuat keputusan dalam pemilihan naskhah, jawapannya adalah pembentukan karakter.

“Saya fikir industri hiburan kita semakin cerah dan tersusun. Saya tidak yakin untuk label diri high demand, tapi saya perlu lakukan pilihan kerana banyak tawaran datang serentak.

“Pertimbangan saya lakukan dengan melihat kepada karakter yang ditawarkan. Watak bagaimana dan adakah ia unik serta belum pernah saya bawakan? Sebelum ini saya pernah bawakan watak budak sekolah kemudian watak lelaki kampung yang lebih santai dan kuat bergurau,” jelasnya.

Masih Mierul yang dulu, lepak mamak
Tawaran yang banyak juga menunjukkan populariti juara Hero Remaja 2021 ini semakin memuncak. Dalam kesibukan, Mierul mengakui sangat menghargai masa cuti yang banyak dihabiskan menonton televisyen di rumah bersama keluarga.

Bukan itu sahaja, pelakon Iman Instant Ustazah Scammer ini juga menegaskan dirinya hari ini masih serupa dengan Mierul Aiman sebelum bergelar pelakon. Populariti tidaklah mengubah sikapnya yang hanya mahu bergaul dengan orang tertentu di kafe viral dan popular.

“Saya tidak nafikan pekerjaan ini memang penat. Tapi ia kepenatan yang berkualiti.

“Bila cuti, saya suka duduk dengan keluarga. Kadang saya akan bermain futsal.

“Hidup saya masih sama. Kadangkala pagi-pagi sudah sibuk. Jika kerja habis awal, saya akan lepak bersama kawan-kawan. Selain itu saya suka juga lepak di kedai Tom Yam kawasan Salak Tinggi.

“Tidaklah hanya lepak di kedai mahal. Makanan di kedai Tom Yam semua sedap-sedap ya. Seronok apa,” katanya ketawa menutup temu ramah.

Scroll to Top