SYARIKAT produksi sukan global terkemuka, Tell, memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pejabat pertama mereka di Asia Tenggara selari dengan pertumbuhan pesat operasi di peringkat global sejak penubuhannya pada 2020.
Pengarah syarikat dan pengasas Tell, Tom Ellis berkata, pengumuman pembukaan pejabat baharu di Kuala Lumpur dan peluang besar di Asia Tenggara selari dengan pengumuman strategik termasuk statistik pertumbuhan kewangan dan juga pengukuhan kepimpinan kanan syarikat.
“Keuntungan syarikat meningkat sehingga 86.6 peratus untuk tahun kewangan 2020/2021 sehingga 2023/2024, menandakan kedudukan syarikat semakin kukuh dalam industri produksi sukan global.
“Justeru, kami di Tell memilih Kuala Lumpur sebagai rumah terbaharu di Asia Tenggara berikutan masyarakat, budaya serta peluang yang tersedia di Kuala Lumpur dan Asia Tenggara bersesuaian dengan visi kami untuk mencipta pengalaman luar biasa menerusi produksi teknikal yang berinovasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tom Ellis
Terdahulu, Tell yang berjaya mementaskan produksi sukan global seperti FIFA Club World Cup 2022 & 2023, AFC Asian Cup 2023, ASEAN Mitsubishi Electric CupTM 2024, Futsal World Cup 2024, England A vs Australia A Rugby Union 2024 dan 26th Arabian Gulf Cup 2024 mengakui, setiap penyampaian projek memberi fokus kepada penggunaan teknologi cekap termasuklah kit penyiaran “flyaway”, hab produksi jarak jauh berskala bersama pengekodan 5G yang terkini.
Dalam pada itu, tambah Ellis, bagi menyokong dan memastikan syarikat terus bergerak ke hadapan dengan era penyampaian global, Tell akan dibantu oleh Alex Wong yang bertindak selaku pengarah pengurusan untuk Asia Tenggara.
“Dengan pengalaman luas dalam bidang penyiaran dan pakar grafik siaran langsung, pernah bertugas di AE Live, ditambah pengalaman dengan organisasi dan acara seperti Persekutuan Badminton Dunia, Konfederasi Bola Sepak Asia dan Pertubuhan Triatlet Profesional, Alex akan menerajui dan mengetuai operasi harian dari pejabat baharu di Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, menurut Alex, pemilihan Bukit Jalil sebagai lokasi untuk pembukaan pejabat baharu di Kuala Lumpur adalah kerana kemudahan dan aktiviti sukan yang tersedia seperti bola sepak, badminton serta ragbi.
“Selain menempatkan stadium bertaraf dunia, Konfederasi Bola Sepak Asia juga terletak di lokasi yang sama,” katanya.
Pada masa sama, Azman Azmy yang berpengalaman lebih daripada 10 tahun dalam produksi sukan termasuk bertugas di AE Live dan Astro akan turut membantu Alex selaku penerbit kanan.
Sementara itu, pakar produksi, Jack Nicklin, dilantik sebagai pengarah urusan di United Kingdom, selari dengan pengalaman beliau dari pelbagai jawatan terdahulu di World Rugby, IMG, Channel 4, BBC, Cricket Australia dan BBC Sport.