Tekong tak menang tangan penuhi slot kaki pancing

Tekong tak menang tangan penuhi slot kaki pancing

GEORGE TOWN: Cuaca baik dan semangat kaki pancing yang membara selepas sebulan berpuasa menjadikan slot meman­cing sepanjang bulan Syawal, penuh dan laris bak pisang goreng panas.

Menurut tekong popular, Md. Adnan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Tekong Nan Legend, semua slot meman­cing dikendalikannya selepas Aidilfitri sudah pun ditempah penuh sejak awal Ramadan lagi.

“Boleh kata semua nak cari strike Syawal. Lepas sebulan berpuasa, ramai pemancing tak sabar nak lepaskan gian mereka. Slot saya penuh, memang tak menang tangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Adnan ber­kata, dia memilih untuk berehat sepanjang bulan Ramadan memandangkan faktor cuaca panas serta menghormati bulan mulia tersebut.

“Tahun ini saya ambil keputusan cuti sebulan daripada memancing. Sebelum ini, tiga empat tahun saya buka slot memancing sepanjang bulan puasa, tapi, Ramadan kali ini saya mahu berehat. Cuaca pun panas, jadi eloklah berehat,” katanya.

Tambah Adnan, dia sering membawa pelanggan ke lokasi popular seperti Pulau Kendi, Pulau Rimau, Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan ­Abdul Halim Muadzam Shah untuk memancing.

Menurutnya, walaupun kawasan berhampiran Pulau Kendi kini sedang ditambak untuk projek pembangunan Pulau Silikon, kawasan itu katanya, masih menjadi lubuk jenahak dan kerapu yang menjadi buruan pemancing.

“Saya berlepas dari pantai Seagate, Jeti Nelayan Seri Jerejak 2 dan akan bawa pelanggan ke beberapa lokasi yang memang terkenal dalam kalangan kaki pancing,” katanya.

Adnan berkata, pendekatannya mungkin berbeza daripada tekong lain kerana dia lebih gemar berpindah-randah bagi memastikan pemancing tidak bosan menunggu umpan disambar.

“Saya juga tidak keberatan berkongsi ilmu memancing terutama kepada mereka yang baru mula berjinak-jinak dalam aktiviti tersebut,” katanya.

Harga pakej bergantung kepada lokasi dan jumlah pelanggan, dengan kadar bagi kawasan Tukun Maritim iaitu lokasi pa­ling jauh bermula RM700 untuk lima orang.

“Kalau lebih seorang, saya kenakan tambahan RM50. Maksimum enam orang untuk trip jarak jauh,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan khidmat Tekong Nan Legend boleh meng­hubunginya menerusi Facebook Adnan Ariffin atau di talian 012-4827540. – UTUSAN

Scroll to Top