am@hmetro.com.my
Melaka: Inisiatif hospital swasta di negeri ini memperkenal teknologi kesihatan terkini termasuk robotik bukan saja memenuhi permintaan penjagaan kesihatan moden warga tempatan, malah pelancong sekali gus memacu sektor pelancongan kesihatan.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau berbangga atas inisiatif Hospital Pantai Ayer Keroh (HPAK) memperkenalkan sistem pembedahan bantuan robotik Da Vinci Xi yang mendahului hospital pakar swasta lain di negeri ini.
Menurutnya pengenalan sistem pembedahan itu menetapkan tanda aras baharu kecemerlangan perubatan di Melaka dan memberi pilihan rawatan terbaik kepada pelancong perubatan.
“Sekarang ini jika dilihat daripada kadar kehadiran pelancong perubatan ke Melaka (bagi rawatan di hospital swasta), kita amat puas hati, dan kebanyakan mereka datang dari Indonesia dan Singapura.
“Pastinya dengan teknologi ini dapat meyakinkan lagi lebih ramai pelancong kesihatan datang untuk melakukan kaedah perubatan terkini di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sistem Pembedahan Robotik Da Vinci Xi dan hadir sama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem dan Ketua Pegawai Eksekutif HPAK, Tan Yew Aik.
Menurut Ab Rauf, beliau difahamkan sistem pembedahan robotik itu diperkenalkan pada 2014 dan ditambah baik sehingga kini serta digunakan meluas di institusi perubatan di seluruh Amerika Syarikat, Eropah, Asia, dan Australia dalam rawatan urologi, ginekologi, kolorektal serta pembedahan am.
“Penggunaan sepenuhnya teknologi robotik ini akan memberikan keberkesanan yang lebih efisien terhadap proses pembedahan oleh sebuah hospital.
“Ia boleh digunakan dalam pelbagai kaedah yang tidak boleh dicapai oleh sifat tangan manusia, terjamin selamat dan juga memberikan keputusan yang amat baik dalam pembedahan,” katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapannya, Ab Rauf berkata, teknologi berkenaan membolehkan pakar bedah beroperasi dengan visualisasi 3D definasi tinggi, meningkatkan ketepatan hirisan pembedahan (lebih kecil), mengurangkan risiko kehilangan darah, kesakitan dan tempoh pemulihan lebih cepat untuk pesakit.
Katanya, pengenalan teknologi pembedahan robotik itu juga selari dengan Pelan Tindakan Industri Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021-2025 dengan aspirasi untuk memenuhi sasaran ‘Pengalaman Pelancongan Penjagaan Kesihatan Terbaik Malaysia’.
Sementara itu, Tan berkata, pihaknya membelanjakan RM10 juta untuk menyediakan sistem itu dan sejak September tahun lalu hingga kini sebanyak 30 pembedahan berjaya dilakukan oleh pakar di hospital itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd