Brasilia: Jurulatih Brazil, Dorival Jr menegaskan pasukannya sedang menunjukkan kemajuan walaupun berada di tangga kelima kumpulan sebelum perlawanan kelayakan Piala Dunia yang penting menentang Colombia dan Argentina.
Juara Piala Dunia lima kali itu berdepan tekanan yang semakin meningkat selepas hanya menang dua daripada lima perlawanan terakhir mereka di tengah-tengah rentetan prestasi kurang memuaskan.
Mereka terikat dengan keputusan seri 1-1 dalam dua perlawanan berturut-turut menentang Venezuela dan Uruguay sebelum ini.
Tetapi, Dorival berharap pasukannya dapat menemui semula identiti mereka dan kembali ke landasan kemenangan apabila menentang Colombia di ibu kota Brasilia, pagi esok.
“Kami bertanggungjawab atas prestasi semasa pasukan dan segala yang telah berlaku,” kata Dorival dalam sidang media, hari ini.
“Kami berusaha untuk bangkit semula dalam pertandingan yang semakin mencabar setiap tahun dan untuk kembali konsisten, kami perlu merombak semula pasukan sepenuhnya serta mencari keseimbangan antara pertahanan yang kukuh dan serangan yang berkesan.
“Saya akan lebih bimbang daripada sekarang jika tidak melihat sebarang kemajuan walaupun keputusan terbaru tidak memihak kepada kami. Kami sedang cuba membuat pembetulan supaya keputusan seterusnya boleh berbeza, tetapi terdapat kemajuan, walaupun ramai yang enggan melihatnya…”
Brazil berada dalam situasi tidak biasa sejak lebih dua tahun lalu selepas tersingkir daripada Piala Dunia 2022 kepada Croatia melalui penentuan sepakan penalti di peringkat suku akhir iaitu kekalahan menyakitkan yang membawa kepada pemergian jurulatih lama, Tite.
Dorival dilantik pada awal 2024 selepas pasukan itu dikendalikan oleh dua jurulatih sementara selama setahun ketika Persekutuan Bolasepak Brazil (CAF) gagal memikat Carlo Ancelotti dari Real Madrid.
Setakat ini, Dorival belum berjaya meraih kepercayaan penyokong Brazil yang menuntut prestasi tinggi, selepas hanya memenangi enam daripada 14 perlawanan sebagai jurulatih, termasuk kempen hambar di Copa America apabila mereka tersingkir di suku akhir kepada Uruguay.
Brazil kini berada di tangga kelima kumpulan dengan 18 mata, satu mata di hadapan Paraguay dan satu mata di belakang Colombia serta Ecuador.
Uruguay berada di tempat kedua dengan 20 mata, manakala Argentina mendahului carta dengan 25 mata.
Hanya enam pasukan teratas dijamin tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2026.
Mereka akan menentang Colombia dengan tujuh pemain yang berisiko terlepas perlawanan menentang Argentina pada Rabu depan sekiranya menerima kad kuning.
Mereka termasuk pemain utama seperti Vinicius Jr, Rodrygo, Raphinha, Bruno Guimaraes dan Gabriel Magalhaes.
Di peringkat kelayakan Zon Amerika Selatan, dua kad kuning bermakna pemain akan automatik digantung satu perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd