Tekanan perasaan, masalah kewangan punca lelaki bunuh isteri

Tekanan perasaan, masalah kewangan punca lelaki bunuh isteri

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: Wanita warga emas ditemukan maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Bandar Sungai Long, di sini, semalam.

Suami mangsa kemudian cuba mencederakan diri sendiri dengan pisau selepas kejadian itu sebelum anak lelakinya melaporkan perkara itu kepada polis pada 5.32 petang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa warga tempatan berusia 63 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidur dan disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, pisau yang digunakan dalam kejadian itu juga sudah dirampas bersama beberapa barang kes lain bagi membantu siasatan.

“Susulan itu, suspek, lelaki warga tempatan berusia 65 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Pasangan itu sudah berkahwin selama 36 tahun dan mempunyai anak lelaki dan perempuan.

“Suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan kerana perniagaan selama 25 tahun diusahakannya mengalami masalah kewangan selain penyakit yang dialami oleh mangsa. Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Naazron berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang dijalankan pada 4.30 petang, hari ini dan punca kematiannya adalah ‘suffocation’.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Februari ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes berkenaan diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan RK Umesh di talian 012-6114900 untuk membantu siasatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top