Tegkang terima pengiktirafan antarabangsa

Tegkang terima pengiktirafan antarabangsa

KUALA LUMPUR: Filem Tegkang mencipta kejayaan apabila dipilih sebagai pemenang kategori Anugerah Pembikin Filem Baru Terbaik sempena penganjuran First-Time Filmmaker Showcase, baru-baru ini.

Penulis cerita dan pengarahnya, Josh Nawan, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai pengiktirafan dan penghormatan buat masyarakat Kelabit di Sarawak yang mana budaya dan kehidupan mereka diceritakan dalam filem tersebut.

“Saya bangga kerana filem ini menambat hati juri dan diiktiraf antara banyak filem hebat yang lain.

“Budaya masyarakat Kelabit jarang diketengahkan dalam dunia seni tanah air. Oleh itu, kemenangan filem ini juga menjadi satu pengiktirafan buat kami.

“Saya bersyukur kerana filem ini diberi peluang untuk dipertontonkan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Tegkang menceritakan bagaimana persahabatan yang terjalin antara seorang lelaki asing dengan seorang penduduk sebuah kampung dekat Bario, Sarawak membawa kepada pendedahan rahsia yang disembunyikan di kampung berkenaan.

Filem ini menampilkan Syfie Naswip dan Michelle Lungan sebagai teraju utama.

Lift-Off First-Time Filmmaker Sessions merupakan pameran bulanan dalam talian yang didedikasikan untuk menyokong karya pengarah-pengarah baru selain menjadi platform tayangan filem indie dari seluruh dunia. 

Pemenang berpeluang untuk mempersembahkan projek filem mereka di Pinewood Studios, United Kingdom.

Sebagai pemenang First-Time Filmmaker Sessions, Tegkang juga bakal dipertandingkan di anugerah perfileman antarabangsa, Season Awards.

Scroll to Top