Tebuan parasit hidup zaman dinosaur ditemui dalam ambar

Tebuan parasit hidup zaman dinosaur ditemui dalam ambar

Beijing: Saintis menemui spesies seekor tebuan parasit purba yang dipercayai hidup sezaman dengan dinosaur, yang didapati mempunyai ciri unik seperti tumbuhan perangkap lalat Venus untuk menangkap mangsanya, menurut satu kajian baharu.

Tebuan parasit itu mempunyai abdomen yang dilengkapi kepak kecil berserta bulu halus menyerupai perangkap, kata penyelidik bersama kajian, Lars Vilhelmsen dari Muzium Sejarah Alam Denmark.

Arab News melaporkan, penemuan lebih sedozen tebuan betina yang terawet dalam ambar berusia 99 juta tahun dari wilayah Kachin di utara Myanmar mengukuhkan teori saintis mengenai mekanisme perangkapnya.

Struktur kepak dan bulu seperti gigi itu mirip perangkap tumbuhan karnivor Venus flytrap yang menutup rapat untuk mencerna serangga.

Namun, saintis percaya perangkap tebuan ini tidak bertujuan untuk menghancurkan, sebaliknya berfungsi sebagai alat untuk mengunci pergerakan mangsa ketika tebuan bertelur.

Larva tebuan yang menetas kemudian akan memakan

perumahnya sedikit demi sedikit hingga habis.

Kaedah ini sebenarnya biasa dalam kalangan tebuan parasit termasuk spesies cuckoo dan bethylid moden, namun belum pernah ada tebuan yang menggunakan mekanisme kepak pelik seperti ini.

Tebuan itu dinamakan Sirenobethylus charybdis, sempena raksasa laut dalam mitologi Yunani yang mencipta pusaran air besar dengan menelan dan memuntahkan air laut.

Kajian ini diterbitkan dalam jurnal BMC Biology dan membabitkan penyelidik dari Capital Normal University serta Muzium Ambar Beijing Xiachong di China.

Tidak dapat dipastikan bila spesies ini pupus, namun penemuan serangga luar biasa seperti ini membantu saintis memahami keunikan evolusi serangga dan kepelbagaian bentuk kehidupan sejak zaman purba.

“Kita sering fikir makhluk luar biasa hanya wujud hari ini, tetapi penemuan ini membuktikan perkara pelik dan unik sudah berlaku sejak dahulu lagi,” kata pakar tebuan, Gabriel Melo dari Universiti Persekutuan Parana, Brazil dalam komennya namun beliau tidak terbabit dalam kajian terbaharu itu.

Seorang lagi pakar entomologi, Lynn Kimsey dari University of California, Davis, Amerika Syarikat (AS) berkata serangga purba berkenaan adalah antara paling pelik pernah diketahuinya.

“Saya sudah melihat pelbagai serangga aneh, tetapi yang ini sememangnya antara yang paling pelik pernah saya temui,” kata pakar itu yang juga tidak terbabit dalam kajian terbaharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top