Tasik Seksyen 7 ditutup kepada orang awam pada waktu malam

Tasik Seksyen 7 ditutup kepada orang awam pada waktu malam

SHAH ALAM: Kawasan rekreasi Tasik Seksyen 7, di sini ditutup sementara kepada orang awam pada pukul 8 malam hingga 7 pagi mulai hari ini bagi memastikan keselamatan sehingga operasi penangkapan buaya di situ di tangkap.

Penutupan pada waktu tersebut juga berkuat kuasa ke atas peniaga gerai-gerai di kawasan berkenaan yang dibenarkan beroperasi sehingga pukul 7 malam.

Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam kenyataannya berkata, langkah tersebut diambil sementara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memburu reptilia berkenaan.

“Penutupan sementara ini akan melibatkan aktiviti rekreasi di sekitar Tasik Seksyen 7 Shah Alam seperti berjoging bermula jam 8.00 malam sehingga 7.00 pagi sehingga operasi menangkap buaya selesai dijalankan.

“Langkah ini diambil bagi memastikan keadaan sekeliling yang lebih sunyi semasa operasi dan pada masa yang sama memastikan keselamatan orang awam di kawasan tersebut bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya, hari ini.

Jelasnya, aktiviti memancing di tasik berkenaan juga adalah tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, kenyataan sama turut memaklumkan Perhilitan Selangor sudah pun memasang dua perangkap di tasik berkenaan sementara pemasangan jaring di lima saluran air oleh MBSA bagi mengelakkan spesies buaya tembaga itu daripada terlepas.

“Para pengunjung dinasihati untuk sentiasa berhati-hati apabila berada di kawasan Tasik Shah Alam Seksyen 7 sehingga Operasi Menangkap Buaya selesai dijalankan,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top