Tarikh lihat anak bulan Syawal 30 Mac ini

Tarikh lihat anak bulan Syawal 30 Mac ini

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan tarikh melihat anak bulan Syawal pada lewat petang hari Ahad, 30 Mac 2025 Masihi bersamaan 29 Ramadan 1446 Hijrah di 29 lokasi cerapan.

Tarikh cerapan anak bulan Syawal di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Tarikh Awal Syawal akan diumumkan pada malam itu juga melalui Radio dan Televisyen untuk seluruh umat Islam di Malaysia.

Menurut kenyataan hari ini, jawatankuasa-jawatankuasa yang terlibat sudah diperkenankan untuk mencerap anak bulan Syawal pada petang itu di 29 lokasi seluruh negara.

Antara lokasi utama cerapan termasuklah di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Melaka; Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar di Kedah.

Seterusnya di Stesen Cerapan Hilal Bukit Besar, Bukit Geliga, Pulau Perhentian serta Balai Cerap KUSZA di Terengganu; Stesen Cerapan Hilal Bukit Kampong Tembeling, Menara Bangunan SEDC serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh di Kelantan; Pusat Falak Miri dan Bintulu serta Teluk Bandung di Sarawak, Menara 188 Kuantan, Tapak Cerapan Hilal Bukit Tanjong dan Gunung Berincang di Pahang, Balai Cerap Al-Biruni serta Menara Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sabah, dan Menara Kuala Lumpur, selain Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top