Tarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman – Peguam bapa bayi 'ditahan' di hospital

Tarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman – Peguam bapa bayi 'ditahan' di hospital

rnoraina@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Bapa kepada bayi lelaki dinamakan Adham yang mayatnya ‘disimpan’ oleh sebuah hospital swasta memberi tempoh tiga jam kepada netizen yang melontarkan fitnah dan tuduhan di media sosial supaya menarik balik atau berdepan tindakan saman.

Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Safwan Roshdy berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pemilik akaun media sosial yang melemparkan fitnah terhadap anak guamnya termasuk dakwaan tidak berkahwin.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat semakan terhadap sijil perkahwinan anak guamnya itu melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) yang kemudian mengesahkan kesahihan sijil berkenaan.

“Kami beri tiga jam (sehingga 12 tengah malam ini) untuk padamkan hantaran atau komen (fitnah).

“Jangan buat andaian jumud. Kami sudah kenal pasti (netizen) sama ada yang buat siaran langsung TikTok dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kota Damansara di sini, malam ini.

Mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak hospital berhubung kes anak guamnya itu, Ahmad Zaharil berkata, pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat sebelum tindakan undang-undang diambil.

Beliau berkata, tindakan saman sivil dan jenayah mungkin boleh diambil terhadap pihak hospital kerana kesalahan menyimpan jenazah bayi selama 16 hari disebabkan bapa tidak menjelaskan bil rawatan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya perlu mendapatkan siasatan lanjut oleh pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara itu.

Sementara itu, Safwan, 22, mengakui kecewa apabila terdapat pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan termasuk tidak berkahwin, selain turut mencaci dan mengutuknya.

Pekerja kilang itu berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dan menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top