am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kerajaan akan memutuskan tindakan lanjut yang akan dilaksanakan susulan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik 24 peratus kepada Malaysia, pada Isnin ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata sebarang keputusan itu akan dibuat berdasarkan hasil mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan ASEAN esok serta mesyuarat National Geoeconomic Command Centre (NGCC) Isnin ini.
“Mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan mengenai tarif (Presiden AS, Donald) Trump, secara khususnya mengenai mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan ASEAN yang akan dipengerusikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Susulan itu, Isnin ini, NGCC akan bersidang dan hasil daripada mesyuarat esok dan perbincangan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan ketua kerajaan negara ASEAN, maka pada Isnin, kita akan buat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, keputusan itu akan dibuat sebelum kerajaan menghantar rombongan bagi tujuan diplomasi dan perbincangan perdagangan ke Washington.
“Tarikh tepat (hantar rombongan) belum boleh saya sebut di sini, tapi semua tertakluk kepada keputusan dan kelulusan Jemaah Menteri hasil daripada mesyuarat esok dan mesyuarat hari Isnin ini,” katanya.
Beliau berkata, sebarang tindakan yang diambil kerajaan adalah sebahagian langkah proaktif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam merangkul semua isu serta pandangan yang dihadapi oleh negara ASEAN.
“Kita berhasrat untuk mengadakan perbincangan itu sebaik mungkin sebagai ASEAN ITU sendiri,” katanya.
Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia sebagai pengerusi ASEAN akan berunding dengan beberapa negara anggota blok itu bagi mencapai persetujuan bersama berkenaan isu tarif timbal balik yang diumumkan AS untuk memastikan prinsip keadilan diterapkan dalam perdagangan antarabangsa.
Negara anggota wilayah Indo-China ASEAN paling teruk terjejas akibat daripada tarif itu dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), (Vietnam 46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Sementara itu, Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia masing-masing pada 24 peratus, manakala Filipina 17 peratus dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.
Selain itu, tarif timbal balik yang lebih tinggi dikenakan secara individu ke atas negara yang AS rekodkan defisit perdagangan terbesar, berkuat kuasa pada 9 April, 2025.
Semua negara lain akan terus tertakluk kepada dasar tarif 10 peratus yang asal.
© New Straits Times Press (M) Bhd