Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak pembangkang mendengar penjelasan yang tepat mengenai isu kenaikan tarif elektrik.
Penjelasan isu kenaikan tarif elektrik
Menurut laporan Sinar Harian, Menteri Kewangan itu berkata, beliau hanya memberi respons kepada Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berhubung isu tersebut.
“Semalam (Isnin) dengar ucapan saya, masalahnya ini dengar dengan sentimen kebencian. Saya sebut ‘may i respond to the called by ACCCIM’.
“Saya menjawab kepada pertanyaan ACCCIM (mengenai) kenaikan tarif bagi industri, bukan kepada negara dan rakyat.
“Dengar betul-betul, bukan dengar dengan sentimen marah, ini penyakit marah dan bukan fakta ekonomi,” katanya.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mempertikaikan kenaikan tarif elektrik.
Artikel lain: Tiga pekerja kontrak maut, terkena renjatan elektrik ketika pasang panel solar
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menjelaskan, kenaikan tarif elektrik yang munasabah hanya dikenakan pada industri dan golongan kaya sahaja, tidak membabitkan kumpulan rakyat terbanyak.
“Kenaikan tarif (elektrik) kepada industri (dan) golongan mahakaya, kalau tidak cukai kepada orang kaya, kita nak tambah peruntukan untuk sekolah (serta) hospital ini dari mana wangnya? Jadi kita kena terima kenyataan.
“Saya sudah sebut depan peniaga-peniaga semalam (bahawa) kita tidak akan bertolak ansur, kita terpaksa naikkan tetapi tidak melibatkan 85 peratus rakyat,” ujarnya mengikut laporan Utusan.
Semalam, ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran ACCCIM, Anwar berkata kenaikan tarif elektrik tetap akan berlaku pada separuh kedua tahun ini dengan kadar bakal ditetapkan selepas semakan semula nanti.
Sumber: Sinar Harian, Utusan (Arif Aiman Asrol dan Nurul Irdina Sumali)