syafil.syazwan@hmetro.com.my
Pengalaman Ramadan sentiasa menjadi memori indah buat setiap umat Islam. Dalam bulan penuh barakah ini, menjadi peluang untuk menunaikan pelbagai amal ibadah sebanyak mungkin.
Bagi penyanyi, Ernie Zakri, kehadiran Ramadan tahun ini juga mengimbau pelbagai kenangan suka duka buatnya.
• Pengalaman tidak dapat dilupakan ketika berpuasa?
Saya kan menyanyi dari kecil. Ketika saya berusia lebih kurang 10 hingga 11 tahun, saya ada buat persembahan juga dalam bulan Ramadan. Jadi, ada satu ketika, saya buat persembahan di Genting Highlands selepas berbuka puasa.
• Pada usia berapa mula berpuasa penuh?
Rasanya, ketika usia 12 tahun saya pernah capai puasa penuh. Sebelum itu, ada yang separuh-separuh.
• Apakah juadah wajib yang mesti ada di meja berbuka?
Kalau waktu berbuka, wajib ada tepung pelita dan lauk-lauk kampung. Makanan barat, memang saya kurang gemar sikit.
• Bazar Ramadan kegemaran dan mengapa?
Rasanya, TTDI okay sebab tak jauh dari rumah saya. Dulu, saya suka ke pasar Ramadan di Jalan Telawi, Bangsar.
• Memori ketika bersahur ketika kanak-kanak?
Saya wajib bersahur semasa zaman kanak-kanak. Sekarang, sahur saya ringan sahaja contohnya kurma dan susu.
Sebenarnya, saya tak boleh lupa suasana sebelum kahwin. Mama akan kejut bangun sahur. Jadi, bila dah jadi ibu, sekarang saya akan imbau kembali kenangan zaman kanak-kanak. Kalau Syamel pun, dia sahur yang ringan sahaja.
• Apakah cabaran terbesar ketika berpuasa?
Memang dari kecil saya dah bekerja. Pengalaman itu tak dapat dilupakan sebab ketika kanak-kanak, rasa macam benda itu tak menyeronokkan. Biasalah, zaman kanak-kanak, kita mestilah nak berbuka puasa di rumah bersama keluarga. Tapi, bila difikirkan semula saat dah dewasa, okay saja sebenarnya.
• Makanan yang cuba dielakkan sepanjang Ramadan?
Rasanya, saya perlu elakkan minuman berkafein seperti kopi. Doktor pun nasihatkan begitu sebab suara masih belum sembuh sepenuhnya.
• Bagaimana Ramadan kali ini berbeza dengan tahun sebelumnya?
Mungkin kerana Khawla dah semakin meningkat usia. Dia dah mula banyak bertanya, kenapa saya dan Syamel berpuasa, kenapa tak boleh makan dan sebagainya.
Dua minggu pertama, saya akan habiskan masa di rumah bersama keluarga. Saya nak jadi suri rumah di bulan Ramadan ini, memasak setiap hari untuk keluarga. Ramadan adalah bulan beribadah.
Apa sahaja kegiatan ibadah yang dapat saya lakukan, saya akan buat. Aktiviti ibadah kami kebanyakannya dibuat di rumah sebab di rumah saya ramai orang. Jadi, Ramadan kali ini lebih meriah dan nak buat sesuatu pun lebih seronok.
Dah tiga tahun beraya dengan Khawla, jadi dia anak yang memahami dan faham kami berpuasa. Tahun lepas, ada juga dia merasa pergi pasar Ramadan. Jadi, saya nak dia rasa apa yang saya dan Syamel rasa semasa zaman kanak-kanak.
• Apakah perubahan positif yang diharap dapat teruskan selepas Ramadan?
Perubahan dari sudut mental. Ketenangan itu yang saya nak capai pada bulan Ramadan sebab saya tahu saya ada cuti. Saya nak tenang, bergembira dengan keluarga. Harapnya, saya dapat capai impian itu dan teruskan selepas Ramadan.
• Apakah kenangan paling berharga ketika solat tarawih?
Tarawih ketika fasa pandemik bersama keluarga. Itu antara tarawih yang sangat sayu sebenarnya sebab dalam keadaan itu, saya tahu, semua tengah berjuang tanpa kerja dan sebagainya. Itu pertama kali dalam kehidupan saya, dapat bertarawih bersama keluarga. Memang satu detik yang sangat hebat dan tak dapat diulang lagi rasanya.
• Berapa rakaat biasanya anda lakukan ketika solat Tarawih?
Biasanya lapan rakaat.
• Apa petua kesihatan diamalkan sepanjang Ramadan?
Satu cabaran dalam Ramadan adalah, kita akan tidur lambat. Biasanya, selepas sahur, selepas Subuh baru akan tidur. Jadi, cabarannya adalah untuk kita menjadi produktif ketika Ramadan.
Ada orang yang tidur sampai petang dan kenikmatan itu tak dapat dirasakan. Saya pernah alami ketika bujang dahulu. Saya kalau boleh tak mahu bazirkan waktu siang saya dalam Ramadan dan lakukan benda yang berfaedah.
• Lebih suka berbuka puasa di rumah, gerai atau secara berbufet?
Saya suka berbuka puasa di rumah dan bufet.
• Sajian paling disukai ketika bersahur?
Kurma dan susu.
• Sudah buat persiapan raya atau belum?
Untuk suami dan anak, saya dah siapkan semuanya sebab saya akan sibuk di Jakarta pada pertengahan Ramadan. Jadi, saya takut tak sempat nak uruskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd