PETALING JAYA: Percaturan taktikal dan kaedah latihan yang diterapkan Kim Pan Gon wajar diberikan pujian kerana berjaya meneruskan rentak cemerlang Harimau Malaya walaupun tanpa barisan pemain bintang.
Harimau Malaya yang dilabelkan Malaysia ‘B’ selepas ramai tonggak utama tidak bersama pasukan berjaya mencatatkan keputusan positif apabila membenam Kemboja 4-0 dalam aksi persahabatan.
Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani berkata, Harimau Malaya sentiasa mempamerkan perubahan dalam setiap permainan dan menghadirkan rasa kagum peminat di era pentadbiran jurulatih baharu.
“Sejak Pan Gon ambil alih, Harimau Malaya memang jelas sudah berubah dan ada peningkatan ketara. Sekarang, walaupun tanpa beberapa nama besar, dia mampu pastikan anak buahnya beraksi pada tahap terbaik.
“Barisan yang diturunkan tidak nampak kekok di atas padang. Maknanya, permainan mereka kena dengan taktikal dan kaedah yang diterapkan oleh Pan Gon termasuk semasa latihan.
“Ini yang saya nampak sejak Pan Gon membawa Harimau Malaya layak ke Piala Asia secara automatik. Sesuatu yang harus dibanggakan namun, konsistensi ini perlu dikekalkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dalam aksi persahabatan itu, Pan Gon menurunkan tujuh pemain baharu iaitu penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Nur Shamie Iszuan Amin, Muhammad Alif Izwan Yuslan, David Rowley, Stuart Wilkin, Lee Tuck dan Sergio Aguero.
Selain itu, Hasan berharap barisan pemain dapat mengekalkan prestasi dalam perlawanan persahabatan seterusnya menentang Maldives di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras pada Rabu ini sekali gus dapat mencari keserasian antara pemain.
Ketika ditanya pemain menyerlah dalam aksi menentang Kemboja, Hasan berkata, kapten, Faisal Halim berada dalam kelasnya tersendiri dalam perlawanan itu dan menjadi watak utama dalam mengucar-kacirkan benteng Kemboja.
“Kualiti yang ditunjukkan oleh Faisal sangat baik, dia buktikan dia layak diberikan lilitan kapten. Dengan dua gol dan satu umpanan dalam perlawanan itu, ia menjadi faktor utama Harimau Malaya menang besar,” katanya.
Hasan turut berharap Faisal dapat mengekalkan disiplin ketika di atas padang mahupun di luar gelanggang bagi memastikan pemain kelahiran Pulau Pinang itu terus berjaya dalam karier bersama pasukan kebangsaan dan kelab.