am@hmetro.com.my
Jitra: Pesawah di beberapa daerah di negeri ini memilih untuk menangguhkan proses menuai padi buat sementara waktu sehingga kerajaan mengumumkan harga lantai padi yang baharu Khamis ini.
Tinjauan di sekitar Alor Setar dan Kubang Pasu mendapati kebanyakan padi sudah menguning dan boleh dituai berikutan sudah mencapai umur 110 hari.
Jentuai padi juga dilihat sudah bersedia di tengah sawah namun belum beroperasi seiring dengan kehendak petani.
Pesawah di Jitra, Ridzuan Hafiz, 24, berkata sawah seluas empat hektar yang diusahakan sepatutnya sudah boleh dituai hari ini namun dia sanggup menunggu hingga Khamis depan sebelum Ia dituai dan dijual kepada pengilang.
Katanya, ramai pesawah di kawasannya turut berbuat demikian kerana mahu harga yang lebih setimpal dengan titik peluh mereka.
“Sekarang harga lantai padi RM1,300 per tan jadi kami tunggu hari Khamis ini dengan harapan harga lantai baharu akan ditetapkan pada kadar RM1, 800 per tan.
“Banyak padi yang sudah masak tapi kami tak mahu tuai lagi sebab tunggu harga padi baharu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ridzuan yang sudah tujuh tahun menjadi pesawah berkata ramai pesawah sanggup menunggu sehingga Khamis depan biarpun berdepan risiko padi akan masak ranum dan menjadi lebih ringan.
Bagaimanapun katanya, pesawah sangat berharap kerajaan akan membuat pengumuman harga lantai padi baharu dengan segera tanpa perlu menunggu Khamis depan.
“Kalau boleh para petani minta percepatkan lagi umum (harga baharu padi) sebab Khamis ini padi sudah terlalu masak, bila terlalu masak padi akan jadi ringan bermakna berat padi akan menurun.
“Sekiranya hari Khamis ini kerajaan tak umum juga, kami tak akan tunggu, kami akan minta pemilik jentera menuai masuk (tuai) hari itu juga sebab bila berat padi kurang ia tak akan berbaloi dengan kos kami buat padi, tempoh 110 hari itu akan jadi sia-sia,” katanya.
Seorang lagi pesawah Mat Hussin, 53, berkata terdapat pesawah yang sudah menjual padi mereka kerana padi mereka masak lebih awal.
Katanya, dia bagaimanapun masih menunggu harga lantai padi baharu yang akan diumumkan kerajaan Khamis ini.
“Kami harap kerajaan akan umum berita gembira untuk kami seperti mana yang dituntut pesawah sebelum ini, harga RM1,800 per tan harga yang kami boleh bernafas, jika harga RM1,300 kami tak dapat apa,” katanya yang mengusahakan lebih sehektar sawah.
Semalam media melaporkan, persoalan berkaitan isu padi dan beras bakal terjawab apabila Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan membuat kenyataan menteri pada sidang Dewan Rakyat, 13 Februari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata kenyataan itu juga akan menjurus kepada isu harga lantai padi.
© New Straits Times Press (M) Bhd