saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berharap dapat meraih kejayaan lebih membanggakan pada saingan Seluruh England bermula 11 hingga 16 Mac depan yang juga kejohanan berstatus Super 1000 selepas terlepas untuk melangkah ke pentas final Terbuka Malaysia, bulan lalu.
Pada aksi Terbuka Malaysia, kejohanan pertama bersatus Super 1000 musim ini, Tang Jie-Ee Wei tewas kepada beregu China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Sedar tidak mempunyai keputusan yang baik di Seluruh England, Tang Jie berharap mampu meraih keputusan cemerlang di kejohanan cukup berprestij dan penuh bersejarah itu.
“Setakat ini kami tak pernah raih keputusan yang bagus (di Seluruh England). Bagi saya, suasana beraksi di Seluruh England sangat berbeza sebab kejohanan ini antara yang tertua.
“Apabila masuk ke gelanggang, kadang-kadang kami rasa keliru adakah ia kejohanan Asia kerana ramai pemain Asia (yang bagus) beraksi di Seluruh England.
“Apapun, kami sangat bermotivasi untuk tingkatkan prestasi di kejohanan itu nanti,” katanya.
Pada saingan Seluruh England tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei yang kini menduduki ranking keempat dunia, tersungkur di pusingan 16 selepas tewas di tangan lawan dari Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek.
Selain Terbuka Malaysia dan Seluruh England, dua lagi kejohanan bertaraf Super 1000 adalah Terbuka Indonesia pada Jun dan Terbuka Indonesia, Julai depan.
Sebelum beraksi di Seluruh England, Tang Jie-Ee Wei dijadualkan akan turun pada Masters Orleans yang menyaksikan mereka pernah muncul juara pada 2023 yang juga gelaran pertama dimenangi mereka dalam Jelajah Dunia BWF.
Kejohanan bertaraf Super 300 itu akan berlangsung di Perancis pada 4 hingga 9 Mac.
© New Straits Times Press (M) Bhd