mdroji@bh.com.my
Kuching: Tiga mangsa tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di Miri berjaya ditemukan dengan seorang daripadanya disahkan meninggal dunia.
Dalam kejadian awal pagi tadi, lereng Bukit Kanada yang runtuh menimbus dua rumah yang didiami 12 penghuni iaitu tujuh di rumah bernombor Lot 287 A, dan lima orang di kediaman Lot 287 B.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, dua mangsa iaitu remaja perempuan dan wanita ditemukan selamat di bawah runtuhan pada 4.55 pagi.
Kedua-dua mangsa yang selamat itu ditemukan di rumah berasingan iaitu Lot 287 A dan Lot 287 B.
Menurutnya, mangsa ketiga yang tinggal di Lot 287 A iaitu seorang remaja lelaki yang ditemukan pada 6.17 pagi pula meninggal dunia.
Pencarian kini masih giat dijalankan untuk mengesan empat lagi mangsa iaitu dua wanita dewasa berusia 41 dan 71 tahun, serta dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan 12 tahun yang kesemuanya tinggal di Lot 287 A.
Seorang lelaki dewasa yang tinggal di rumah Lot 287 A selamat dalam kejadian yang berlaku susulan hujan lebat sejak kelmarin itu.
Sementara itu, empat lagi penghuni Lot 287 B iaitu seorang lelaki dewasa serta tiga remaja perempuan semuanya selamat dalam kejadian itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd