Tanah runtuh jejas bekalan kuasa menara pemancar Gunung Jerai – Utusan Digital

Tanah runtuh jejas bekalan kuasa menara pemancar Gunung Jerai – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Insiden tanah runtuh akibat fenomena kepala air terburuk di sekitar Gunung Jerai, Kedah  Rabu lalu turut menjejaskan menara pemancar penyiaran di lokasi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MYTV Broadcasting Sdn. Bhd., Mazlan Mahdi ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya berusaha membaik pulih kerosakan namun ada kejadian tanah runtuh di sekitar menara pemancar yang menyebabkan usaha pembaikan menjadi lambat.

Stesen telekomunikasi milik Telekom Malaysia itu terletak di Jalan Persekutuan 274 yang berdekatan perigi ulama terkenal, Tok Sheikh pada ketinggian 1,219 meter dari paras laut.

Mazlan tidak dapat memberi jangkaan tepat bilakah usaha baik pulih pemancar di puncak gunung Banjaran Titiwangsa itu dapat diselesaikan.

“Sebarang perkembangan terkini akan pihak kami maklumkan dari masa ke semasa melalui laman sesawang dan akaun media sosial rasmi diurus MYTV Broadcasting,” jelas beliau.

Lokasi stesen berkenaan terletak tidak jauh dari pusat peranginan tanah tinggi, Jerai Hill Resort yang juga teruk terjejas ekoran kejadian itu dan mengorbankan seorang pekerjanya.

Bagaimanapun, pengguna sistem penyiaran terestrial digital MYTV Broadcasting di selatan negeri itu tiada masalah besar kerana masih ada liputan daripada pemancar di Pulau Pinang.

Sementara di kawasan selebihnya, mereka boleh mendapatkan siaran dengan menala alat penerima luaran ke sejumlah hampir 20 menara transponder yang dibina di seluruh Kedah.

Dalam pada itu, Jabatan Penyiaran Malaysia mengesahkan, bencana kepala air tersebut hanya menyebabkan kerosakan kecil kepada sistem kabel kuasa Tenaga Nasional Berhad. – UTUSAN ONLINE

Scroll to Top