Tampilkan 11 Looks, Muzik Video Telan Kos Hampir RM100,000! Tapi Ramai Yang Kecam Agy – “Jika Tak Suka, Saya Tak Boleh Paksa”

Tampilkan 11 Looks, Muzik Video Telan Kos Hampir RM100,000! Tapi Ramai Yang Kecam Agy – “Jika Tak Suka, Saya Tak Boleh Paksa”

Pempengaruh dan selebriti media sosial, Agy kini muncul dengan single terbaharu berjudul Uno Dos Tres.

Mahu mengasah bakat sebagai penghibur, Agy atau nama sebenarnya, Muhammad Affizy Mohd Khairy, 29, memilih untuk tampil dengan lagu ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito.

“Syukur, saya kini muncul dengan single terbaharu. Sebelum ini, saya pernah tampil dengan beberapa single dengan nama Affizy Khairy namun ia kurang mendapat sambutan.

“Kini, selepas saya semakin diterima sebagai pempengaruh dan model, saya mahu hidupkan semula kerjaya saya sebagai penyanyi dan penghibur, maka terhasilllah Uno Dos Tres.

“Sebelum muncul dengan muzik video pun, ada segelintir orang sudah mengecam biarpun hasil akhir belum dikeluarkan lagi.

“Bila kita di hadapan, orang akan nampak kita dahulu. Jadi, apa-apapun, orang akan kecam dahulu. Bagi saya tak mengapa, bila orang bercakap, maksudnya kita dapat perhatian mereka.

“Ia perkara baik, Alhamdulillah kerana mereka tahu saya muncul dengan lagu dan mesti mereka akan tonton muzik video saya. Mesti timbul rasa ingin tahu. Sekurang-kurangnya, saya dapat perhatian dan pendedahan yang saya perlukan.

“Cuma niat saya bukan nak memberi ruang orang kecam, tetapi macam semua orang tahu, mereka yang mahu melangkah ke dalam industri seni haruslah tampil berbeza untuk menonjolkan branding apa yang mahu di bawa. Jika orang tak suka, saya tak boleh paksa,” katanya.

Tidak mengira bajet pembikinan muzik video secara spesifik, Agy menganggarkan kos yang dikeluarkan untuk menghidupkan Uno Dos Tres adalah sebanyak hampir RM100,000.

“Sejujurnya, saya tak kira dengan betul-betul secara terperinci.. Kos produksi, penampilan serta saya juga mendapat tajaan dan menggunakan wang sendiri. Jika dirangkumkan semua termasuk nilai tajaan dan wang sendiri, tapi ia hampir cecah RM100,000.

“Muzik video juga menampilkan saya menggayakan 11 looks. Antara pereka fesyen yang terlibat adalah Melinda Looi, Kashfi Zulkufli, Behati, Syomir Izwagupta dan banyak lagi,” katanya.

Menurut Agy, tema utama lagu ini berkisar tentang semangat positif serta sikap ketidakpedulian terhadap pandangan orang luar dan mesej yang cuba disampaikan adalah tentang ketahanan, kebebasan untuk menjadi diri sendiri dan menikmati perjalanan hidup walaupun ada cabaran.

“Lagu ini mengajak kita untuk menjadi diri sendiri dan membina keyakinan diri. Meskipun orang mungkin berpura-pura, kita harus terus mengejar impian dan tidak terpengaruh oleh kritik. Bangkitlah semula setelah jatuh dan terus bergerak maju dengan penuh keyakinan,” katanya.

Walaupun single ini dicipta oleh Mas Dewangga dan Jova Devito, namun idea sebalik pembikinannya datang dari Agy sendiri yang mahukan kelainan melalui judul bahasa Latin.

Lagu pop yang dicipta dalam nuansa EDM (Electronic Dance Music) dengan elemen muzik Latin menyuntik kelainan yang sudah lama tidak didengar dalam mana-mana karya muzik di Malaysia.

“Saya ada menyatakan keinginan pada komposer tentang menyanyikan sebuah lagu pop dansa dengan garapan moden yang boleh diterima oleh pendengar muda masa kini, maka terhasilah Uno Dos Tres.

“Mengapa saya memilih judul lagu dalam bahasa Latin, percaya atau tidak, ada antara pengikut saya yang ‘terkeliru’ dengan rupa paras saya dan beranggapan saya berdarah Latin, jadi saya ingin terjemahkan imej tersebut kedalam lagu,” katanya.
.

Scroll to Top