Industri hip hop tempatan kembali meriah dengan pelancaran single terbaru berjudul, ‘Kemana Ni’ hasil kolaborasi antara tiga nama besar dalam dunia muzik Malaysia iaitu, Luca Sickta, Kmy Kmo, dan Salammusik.
Dilancarkan secara rasmi oleh Sony Music Malaysia, lagu ‘Kemana Ini’ menawarkan gabungan unik antara hip hop dan reggae.
Selain menyampaikan pesan introspektif tentang arah kehidupan di tengah dunia moden yang penuh dengan cabaran.
Bermula Dari Sebuah Perjalanan & Persahabatan
Single ‘Kemana Ni’ bukan sekadar sebuah kolaborasi antara tiga nama besar ini tetapi merupakan perjalanan yang bermula pada tahun 2018.
Idea lagu ini tercetus selepas kejayaan lagu “Gong Nekara” pada tahun yang sama, di mana Kmy Kmo tertarik untuk mencipta karya yang menggambarkan perjalanan hidup manusia dalam mencari tujuan dan makna.
Menurut Luca Sickta, projek ini telah lama ddirancangkan dan akhirnya dapat direalisasikan setelah melalui pelbagai fasa penciptaan.
“Salammusik adalah artis pertama yang kami dekati untuk projek ini, dan dia merupakan yang pertama menyambut baik idea ini. Dia menunggu dengan sabar sejak 2018, dan akhirnya lagu ini dapat dikongsi dengan dunia,” katanya.
Bagi Salammusik pula, pengalaman dalam penghasilan lagu ini sangat istimewa memandangkan proses ini dilakukan secara jarak jauh.
“Luca menghubungi saya ketika saya berada di Amsterdam dan berkongsi lakaran awal lagu ini, lagu ini sekaligus menarik perhatian saya.
“Walaupun banyak rakaman dan penulisan dilakukan dari jauh, semangat lagu ini tetap terasa,” tambahnya ketik aditemui usai majlis pelancaran single yang diadakan di L Space Event, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebuah Karya Yang Membawa Pesan Hidup
Di sebalik melodi yangbertenaga, deep dan alunan yang lebih santai, single ini membawa persoalan mendalam tentang arah hidupseseorang.
Tambah Kmy Kmo, ia menggambarkan perasaan seseorang yang baru melangkah ke alam kedewasaan dan perlu membuat keputusan penting dalam hidup.
“Hidup sebenar bermula ketika kita keluar dari zon selesa. Saat itu, kita akan diuji untuk mencari arah dan membina kehidupan kita sendiri,” jelasnya.
Manakala, Salammusik pula menyifatkan lagu ini sebagai peringatan bahawa kegagalan bukanlah penamat, tetapi sebahagian daripada proses menuju kejayaan.
“Keberanian harus disertai dengan pengetahuan dan persiapan yang matang. Kita perlu berani jatuh dan bangkit kembali,” ujarnya.
Gabungan Hip Hop & Reggae Yang Menari
Dari segi muzik pula, single ‘Kemana Ni’ membawa kelainan dalam industri muzik tempatan apabila menggabungkan dua genre yang memiliki jiwa masing-masing iaitu, hip hop dan reggae.
Sebagai produser dan komposer, Luca Sickta juga bertanggungjawab memastikan setiap elemen dalam lagu ini disusun dengan cermat.
“Saya dan Kmy sudah banyak bekerjasama dalam projek-projek sebelumnya, jadi kami sangat serasi. Kehadiran Salammusik memberikan warna tersendiri dengan gaya reggae yang menjadi identitinya,” tambahnya.
Harapan & Impian Untuk “Kemana Ni”
Ketiak ditanya mengenai harapan untuk single kali ini, Luca Sickta, Kmy Kmo, dan Salammusik berharap agar setiap karya muzik yang hebat lahir dengan harapan untuk menyentuh hati pendengar.
“Kami ingin lagu ini menjadi pembakar semangat, terutama pada pagi hari sebelum memulai aktiviti atau sesuatu yang memberikan motivasi kepada pendengar,” kongsinya.
Sekadar info, single ‘Kemana Ni’ kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music. Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.