Tambang feri ke Langkawi naik sehingga RM10.50 tahun depan

Tambang feri ke Langkawi naik sehingga RM10.50 tahun depan

LANGKAWI: Kadar tambang feri bagi setiap perjalanan ulang alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi akan dinaikkan antara RM3 dan RM10.50 bermula 1 Januari ini.

Kenaikan harga tiket itu membabitkan semua kategori penumpang iaitu warganegara, bukan warganegara dan penduduk Langkawi. Namun, tiket untuk warga emas 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) tidak mengalami perubahan.

Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. (Ferry Line), Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, bagi penumpang dewasa warganegara, perjalanan sehala dari Kuala Perlis ke Langkawi dinaikkan RM3 daripada RM21 kepada RM24.

“Kanak-kanak pula dinaikkan daripada RM16 kepada RM19. Manakala untuk laluan Kuala Kedah, dari RM26.50 dinaikkan RM3.50 menjadi RM30 untuk dewasa, kanak-kanak pula RM20.50 dinaikkan dengan kadar sama menjadi RM24.

“Bagi penumpang dewasa bukan warganegara, perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi sebelum ini RM27 dinaikkan RM8 menjadi RM35, manakala dari Kuala Kedah ke Langkawi harga asal RM34.50 dinaikkan RM10.50 menjadi RM45,” katanya di sini, hari ini.

Norhafiz berkata, kadar tambang kanak-kanak untuk kategori sama bagi laluan Kuala Perlis ke Langkawi dengan harga asal RM19.50 dinaikkan RM5.50 menjadi RM25; manakala perjalanan Kuala Kedah ke Langkawi RM25.50, naik RM6.50 menjadi RM32.

“Sementara untuk penduduk Langkawi, kadar tambang asal dewasa RM15 dinaikkan RM3 menjadi RM18 untuk perjalanan Kuala Perlis ke Langkawi, kanak-kanak menjadi RM13.

“Kategori sama bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi yang harga asal RM20 pula naik RM3.50 menjadi RM23.50; manakala kanak-kanak dari RM14 menjadi RM17.50,” katanya.

Beliau berkata, tambang untuk warga emas dan orang kurang upaya masing-masing kekal RM13 dan RM17 bagi perjalanan Kuala Perlis ke Langkawi, manakala RM10 dan RM14 bagi Kuala Kedah ke Langkawi.

Tambahnya, kadar tambang yang sepatutnya dinaikkan mulai 5 Ogos 2022 iaitu RM6 bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis dan RM7 bagi laluan Langkawi ke Kuala Kedah tetapi dikurangkan kepada 50 peratus ketika itu atas faktor pemulihan pasca Covid-19.

“Walaupun berlaku sedikit peningkatan tambang semasa, namun kadar tambang feri di Langkawi adalah terendah di Malaysia ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top