Tambahan satu batalion PGA di sempadan Sarawak

Tambahan satu batalion PGA di sempadan Sarawak

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan tambahan sekurang-kurangnya satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sarawak untuk menguatkan kawalan keselamatan sempadan di negeri itu.

Ia susulan pembangunan Kalimantan yang bakal menjadi ibu negara baharu Indonesia.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata batalion berkenaan berkemungkinan ditempatkan di Kapit, Sarawak memandangkan ia berhampiran dengan Kalimantan.

Beliau berkata, batalion baharu itu diperlukan di Kapit berikutan keluasannya dan tidak memadai jika hanya satu kompeni ditempatkan di kawasan itu untuk melakukan kawalan keselamatan.

“Kami sedia maklum mengenai Kalimantan yang ingin dijadikan sebagai ibu negara Indonesia yang baharu dan pembangunannya sangat cepat,” katanya dalam wawancara khas kepada BERNAMA di Bukit Aman, baru-baru ini.

Beliau berkata, laluan tidak sah atau lorong tikus banyak di kawasan itu dan wujud keperluan menempatkan batalion baharu di sana.

Beliau berkata, kegiatan penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin dikhuatiri meningkat dan semakin serius jika tiada perubahan dilakukan di sana.

Dalam perkembangan berasingan, Zainal Abidin berkata, pihaknya merancang menambah bilangan keanggotaan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) KDNKA berdasarkan kejayaan dan rampasan membabitkan jutaan ringgit unit itu sejak ditubuhkan kurang empat tahun lalu.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata, ketika ini CPSK mempunyai 30 pegawai dan anggota yang dijangka ditambah bilangannya sehingga 100 orang tahun ini.

Beliau berkata, unit berkenaan berperanan penting dan penambahan keanggotaan itu akan dibahagi secara ‘wilayah’ misalnya di utara, selatan, pantai timur, Sabah dan Sarawak yang mana ketika ini unit itu berpusat di Bukit Aman.

“CPSK diajar cara buat risik, cara buat rampasan bagaimana buat penandaan apabila buat rampasan dan sebagainya sebelum diserahkan kepada pegawai di lapangan untuk buat siasatan lanjut serta pertuduhan terhadap penjenayah.

“Kami pergi bukan sekadar nak buat rampasan semata-mata, bahkan mahu (siasatan dan pertuduhan) di bawah POCA (Akta Pencegahan Jenayah 1959) dan AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001).

” Tanpa intelligence (risikan) yang cukup, AMLA dan POCA tidak boleh dibuat (dilaksanakan),” katanya.

Beliau berkata, rampasan dan tangkapan boleh dilakukan namun untuk membuat pertuduhan di bawah POCA dan AMLA memerlukan tenaga kerja yang ramai bagi melakukan siasatan terperinci. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top