Kuala Lumpur: Keputusan menambah waktu bekerja jururawat selama tiga jam di wad hospital di bawah arahan baharu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), telah melalui beberapa pusingan libat urus termasuk dengan tujuh kesatuan sekerja dan persatuan jururawat.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu tidak dibuat sewenang-wenangnya dan pandangan daripada pelbagai pihak telah diambil, kerana sedar isu kekurangan kakitangan telah lama membebani mereka yang terlibat.
“Perkara ini kami (jemaah menteri) juga telah bincang dalam Kabinet dan saya sangat sedar dan insaf dengan apa (isu tambahan waktu bekerja) yang mereka bangkitkan.
“Kita akan teruskan libat urus ini kerana perkara ini telah dibuat dalam SSPA dan Kabinet dan Perdana Menteri pun (mahukan) supaya perkara ini dilaksanakan dahulu dan kita sedia menimbang keperluan ini sebab saya tahu (akan masalahnya),” katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara, hari ini.
Terdahulu, Senator Dr A Lingeswaran mencelah dan bertanyakan pendirian Dzulkefly mengenai tambahan waktu bekerja jururawat selama tiga jam di wad hospital, berkuat kuasa 1 Disember ini.
Dzulkefly berkata, biarpun dalam arahan baharu itu memerlukan jururawat bekerja lebih masa, namun kebajikan mereka tetap terjaga kerana ia dilaksanakan menerusi waktu bekerja syif yang lebih fleksibel, walaupun waktu kerja berubah kepada 45 jam seminggu berbanding 42 jam sebelum ini.
“Dulu 42 jam kerja itu tiada rehat, makan. Mereka terpaksa curi-curi masa atau ambil giliran. 45 jam kerja itu betul adalah tambahan, tapi pada waktu sama kita perlu tahu 45 jam kerja itu mengandungi waktu makan, waktu sembahyang, handing passing over tugasan atau syif,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd