Takut kantoi berduaan dalam kereta, penghantar makanan langgar motosikal polis

Takut kantoi berduaan dalam kereta, penghantar makanan langgar motosikal polis

KUALA LUMPUR – Takut terkantoi berdua-duaan dalam kereta, penghantar makanan dan guru tadika bertindak melanggar motosikal anggota polis yang membuat pemeriksaan dalam kejadian di sekitar Jinjang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kedua-dua suspek warga tempatan itu telah ditahan hari ini di sekitar Batu Caves, Gombak dan Taman Melati, Setapak.

“Ketika kejadian anggota polis daripada Balai Polis Jinjang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan itu sekitar jam 11.45 malam kelmarin.

“Anggota terbabit ternampak sebuah kenderaan jenis Toyota Velfire dalam keadan enjin hidup dan meletakkan motosikalnya di hadapan kenderaan itu.

“Dia kemudian menyuluh ke dalam kereta sambil mengeluarkan kad kuasa dan memperkenalkan diri sebagai polis. Suspek yang berada di bahagian belakang dalam keadaan tidak berbaju hanya memakai seluar bergerak ke bahagian pemandu.

“Akibat takut, suspek bertindak menekan minyak dan terus melanggar serta mengheret motosikal anggota itu sejauh kira-kira 300 meter untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari. Foto FAREEZ FADZIL, 07 MAC 2024.

Tambah beliau, anggota terbabit sempat mengelak dan mengejar kenderaan itu bersama beberapa anggota lain namun suspek berjaya melarikan diri di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Ahmad Sukarno juga memaklumkan, buat masa ini tidak dapat dipastikan apa yang dilakukan kedua-dua suspek ketika bersama di dalam kenderaan itu.

“Susulan itu, suspek lelaki dikenakan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 29 Oktober manakala suspek wanita sehingga esok, dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top