Takrif subjektif, populariti penyanyi bukan penentu

Takrif  subjektif, populariti penyanyi bukan penentu

georgie@hmetro.com.my

Sebagus bagaimanakah sebuah karya itu untuk diangkat sebagai killer song?

Persoalan yang membuka mata ramai termasuk pengkarya muzik tempatan baru-baru ini selepas kenyataan dikeluarkan penyanyi Man Bai.

Man Bai atau nama sebenarnya Abdul Rahman Osman, 58, membuka ruang perdebatan baik di alam maya mahupun dalam industri sendiri untuk menyelarikan takrifan terbaik killer song.

Secara dasarnya, killer song berbeza dengan lagu hit kerana killer song adalah karya yang sudah sebati di halwa telinga, ikonik dan diketahui semua orang. Kebanyakannya karya malar segar.

Contoh paling tepat adalah lagu Man Bai sendiri iaitu Kau Ilhamku yang tidak dinafikan ibarat lagu wajib hafal atau diingati setiap peminat muzik. Karya itu membawa namanya ke mana-mana untuk terus dikenali.

Berbeza dengan lagu hit yang secara dasarnya meledak secara luar biasa untuk tempoh tertentu saja. Kemudian, hype menurun pada masa tertentu kecuali lagu itu dicari untuk didengar semula.

Penulis sempat berbual dengan penyanyi hebat Ziana Zain berhubung topik ini. Ternyata perihal isu itu begitu subjektif dan bersangkut paut dengan perbezaan era mahupun generasi secara amnya.

Tidak dinafikan, era 1980-an dan 1990-an misalnya banyak terhasil killer song yang masih terus utuh dikenali sehingga kini. Bahkan generasi terkini pun tahu dan meminatinya.

Ziana berpendapat adalah terlalu subjektif untuk mentakrifkan sebuah killer song sebenarnya. Tiada acuan tepat untuk digunakan bagi mendapat sebuah karya yang mampu mencapai tahap itu.

Memang ada benarnya terutama untuk pasaran sekarang yang lagu-lagu hit pun masih boleh dikategorikan sebagai killer song. Cuma, bergantung adakah lagu itu akan berjaya dikenang sampai bila-bila atau tidak.

Kebergantungan sumber muzik sekarang pun sudah terlalu meluas dengan adanya platform digital. Berbanding zaman dulu ketika era kaset dan radio semata-mata, pilihan pendengar lebih variasi kini.

Justeru, sukar untuk menentukan sama ada lagu yang benar-benar hit, sentiasa di carta teratas jumlah dengarnya dan tinggi putaran di radio boleh dipanggil killer song. Demikian juga populariti penyanyinya bukan penentu.

Pucuk pangkalnya, evolusi berkarya itu adalah proses yang tidak akan berkesudahan. Pastinya setiap pengkarya sentiasa mencari formula terbaik mahupun inspirasi luar biasa demi hasilkan karya agung.

Apabila topik ini diperdebat, memang mencetus manfaat untuk membuka lagi mata pejuang muzik. Ia bukan satu perlumbaan tapi mengangkat lagi mutu muzik seiring peredaran masa.

Apalagi timbul juga persoalan mengenai pengkarya generasi baharu yang lebih kepada mengejar trend. Kreativiti jadi terbatas kerana terlalu mengikut acuan lagu yang digilai pada waktu semasa saja.

Kekangan begitu menyebabkan mereka tidak berpandangan jauh ke depan dan memikir manfaat untuk jangka masa panjang. Mampukah karya itu menjadi malar segar buat generasi mendatang?

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Recent Posts

Scroll to Top