“Takkan berbikini” – Amelia Henderson nak bertanding Miss Universe Malaysia 2023

“Takkan berbikini” – Amelia Henderson nak bertanding Miss Universe Malaysia 2023

Pelakon dan model jelita, Amelia Henderson menyatakan hasrat untuk menyertai pertandingan ratu cantik Miss Universe Malaysia 2023.

Pemilik nama Amelia Thripura Henderson berkata, dia mahu mencuba nasib dalam pertandingan berkenaan memandangkan ia adalah peluang terakhir berdasarkan had umur dibenarkan.

Katanya lagi, adalah lebih baik sekiranya penyertaannya dalam Miss Universe Malaysia 2023 mendapat sokongan daripada ramai terutama peminat.

“Saya memang nak sertai dan sedang mempertimbangkan sama ada nak masuk atau tak.
“Kalau betul saya masuk, alangkah baik kalau dapat sokongan anda,”ujarnya.

Sementara itu, pelakon filem Pulau itu meluahkan rasa lega apabila segmen berbikini tidak lagi diwajibkan di atas pentas peragaaan.

“Saya bukan seorang yang selesa memperagakan bikini atas pentas. Saya tak rasa saya sanggup lakukan itu sampai bila-bila. Tapi sekarang, pengurusan mereka pun sudah bertukar tangan,”ujarnya.

Katanya lagi, dia tidak akan memakai bikini di atas pentas selain merasa tidak mahu bersaing dalam pertandingan berkenaan.

“Saya tak rasa ingin bersaing. Untuk bertanding dengan wanita lain, saya ragu-ragu tapi nak sebenarnya. Kalau saya tak masuk tahun ini, sudah tak ada ruang untuk bertanding,” tambah Amelia.

Sekadar info, pengurusan Miss Universe Malaysia pada kali ini bukan sekadar membuka penyertaan kepada wanita bujang, sebaliknya memberi peluang kepada wanita sudah berkahwin, bercerai, malah golongan ibu turut dialu-alukan.

Akan tetapi, pihak pengurusan menetapkan had usia yang layak bertanding iaitu dari 18 hingga 27 tahun sahaja.

Terdahulu, portal melaporkan Amelia pernah berkahwin dengan Tunku Datuk Harrunnarasheed Putra Tunku Anuar pada 14 Ogos 2015. Bagaimanapun pada Ogos 2018, dia mendedahkan perkahwinan itu sudah berakhir.

Dan, Amelia sendiri tidak suka orang ramai menggelarkannya ‘janda’, sebaliknya fokus pada kejayaan yang dikecapinya dalam industri hiburan.

Sumber: Harian Metro 

Scroll to Top