Madrid: Barcelona akan menerima kunjungan Atletico Madrid yang yang ketika ini berada pada prestasi terbaik dalam pertembungan La Liga di mana kedudukan teratas akan dipertaruhkan antara dua pasukan yang berada dalam momentum yang sangat berbeza.
Atletico Madrid di bawah bimbingan Diego Simeone kini berada dalam prestasi terbaik, mencatatkan 11 kemenangan berturut-turut dalam semua aksi dan bermain seperti mesin yang sangat efisien dengan Antoine Griezmann, Julian Alvarez, dan Rodrigo de Paul berada pada tahap memuaskan.
Sementara itu, Barcelona, yang mendahului La Liga, mengalami beberapa kekalahan mengejut dalam beberapa minggu terakhir dengan prestasi buruk yang menyebabkan kelebihan sembilan mata mereka lenyap begitu sahaja.
Pasukan itu baru-baru ini mengalami kekalahan 1-0 kepada Leganes pada hari Ahad lalu, kekalahan kedua berturut-turut di laman sendiri, dan hanya mencatatkan satu kemenangan dalam enam perlawanan liga terakhir mereka.
Atletico kini setaraf dengan Barcelona dengan 38 mata selepas kemenangan 1-0 ke atas Getafe, manakala Real Madrid di tempat ketiga hanya ketinggalan satu mata.
Barca juga akan beraksi tanpa pemain muda Lamine Yamal, yang dijangka akan terlepas sekurang-kurangnya tiga minggu lagi selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Leganes.
Situasi itu sekali gus menyebabkan Barca bergelut tanpa pemain sayap muda itu, yang baru-baru ini dinobatkan sebagai pemain muda terbaik dunia dan membantu Sepanyol memenangi Euro 2024 pada usia 17 tahun. Mereka hanya memenangi satu daripada tiga perlawanan yang ditinggalkannya bulan lepas akibat kecederaan buku lali yang lain.
Real Madrid sudah pastinya akan memerhatikan pertembungan ini dengan rapat, kerana mereka berpeluang mendahului dengan kemenangan ke atas Sevilla yang sedang bergelut sekiranya Atletico dan Barcelona seri.
Selepas seri 3-3 dengan Rayo Vallecano, Real mendapat suntikan semangat dengan kemenangan 3-0 ke atas Pachuca dalam Piala Interkontinental pada hari Rabu.
Kemenangan titu menyaksikan Carlo Ancelotti menjadi pengurus dengan gelaran terbanyak dalam sejarah kelab menerusi 15 trofi, mengatasi Miguel Munoz yang memegang rekod terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd