Tak sensitif tanya siapa ‘All Eyes on Rafah’, Ning Baizura dikecam

Tak sensitif tanya siapa ‘All Eyes on Rafah’, Ning Baizura dikecam

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Ning Baizura, 49, dihujani dengan kecaman daripada setiap penjuru di media sosial lantaran dianggap tidak sensitif mengenai apa yang sedang berlaku terhadap saudara Islam di Palestin.

Ini menerusi tindakannya bertanya semula kepada netizen ketika sesi siaran langsung di Instagram semalam tentang siapakah ‘All Eyes on Rafah’ hingga kemudiannya mengundang kecaman ramai.

Berikutan itu, ramai mula membuat perkongsian mengenai kenyataan Ning itu di media sosial dengan masing-masing memyifatkan tidak wajar untuk seorang selebriti Islam sepertinya bersikap tidak cakna dengan isu semasa.

Malah, ada yang berpendapat, Ning hanya mengeruhkan lagi keadaan apabila kini rakyat Malaysia juga sedang rancak menyertai gerakan Blockout 2024 yang awalnya dimulakan oleh Barat terhadap selebriti-selebriti di Hollywood yang membisu mengenai nasib rakyat Palestin.

“Fasal Rafah lagi-lagi ‘All Eyes on Rafah’ memang lalu setiap masa di semua media sosial. Tak sangka dia tak tahu langsung,” kata seorang pengguna.

“Sedihnya tengok jenis macam ini. Tak kan sikit pun tak ambil tahu tentang apa yang terjadi di Palestin?,”komen netizen.

Selain meninggalkan komen-komen berbentuk teguran kepada penyanyi ini supaya cakna tentang isu Palestin, ada juga kalangan netizen yang mahu memboikot Ning dengan menyekat akaun media sosialnya sebagai pengajaran kepada penyanyi tersebut.

Bagaimanapun, setakat ini, belum ada sebarang kenyataan baharu dikeluarkan oleh Ning bagi menjelaskan situasi.