Tak sangka dapat sambutan

Tak sangka dapat sambutan

Serdang: Niat murni suri rumah, Noor Azeela Ibrahim, 40, menjual karipap mini, popia simpul dan popia gulung bagi membantu keluarga meningkatkan pendapatan membuahkan hasil apabila meraih pendapatan tinggi hasil jualan makanan itu.

Anak saudara yang juga pembantu Noor Azeela, Nur Zafikha Mukhtar berkata, ibu saudaranya itu menceburi bidang perniagaan bagi membantu ayah saudaranya, Ahmad Fani, 44, yang bekerja sebagai pemandu lori.

“Selain itu, mereka mempunyai lima anak yang masih bersekolah. Jadi, ini sahaja cara meningkatkan pendapatan mereka.

“Noor Azeela tidak sangka karipap mini, popia simpul dan popia gulung yang dibuatnya mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar Kuala Krai,” katanya ditemui di Laman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, semalam.

Malah, jualan tiga produk di bawah jenama McGie itu meledak selepas tular di sebuah laman media sosial tahun lalu apabila mendapat ratusan tempahan daripada pelanggan dari seluruh Malaysia.

Kata Nur Zafikha, Noor Azeela kini tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan daripada pelanggan, akibat kekurangan tenaga pekerja.

“Noor Azeela kini hanya dibantu suaminya serta empat anaknya bagi menyiapkan semua tempahan.

“Ibu saudara sudah cuba cari pekerja tetapi tiada sesiapa pun yang berminat untuk bekerja dengannya. Itu kekangan kami ketika ini untuk mengembangkan perniagaan.

“Malah, ada pihak yang hendak taja kami untuk beli kilang yang lebih besar tapi kami terpaksa tolak,” katanya yang juga berasal dari Dabong, Kuala Krai.

Oleh demikian, beliau berharap penduduk di kawasan daerah itu sudi menjadi pekerja perniagaan ibu saudaranya itu supaya proses menyiapkan tempahan pelanggan dapat disiapkan lebih cepat.

Sejak menceburi bidang perniagaan tujuh tahun lalu, Noor Azalea sudah berjaya menjual lebih 100,000 bekas dan bungkusan makanan tersebut.

“Saya ingin zahirkan penghargaan kepada KKDW kerana beri peluang kepada kami untuk perkenalkan lagi produk McGie kepada pengunjung MAHA.

“Kami harap dapat serta pameran ini pada penganjurannya yang akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd