Tak salah poster konsert macam sambutan Tahun Baru Cina – Noraniza

Tak salah poster konsert macam sambutan Tahun Baru Cina – Noraniza

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Noraniza Idris berpendapat tidak menjadi kesalahan apabila poster konsertnya disamakan dengan sambutan Tahun Baru Cina.

Noraniza, 55, menjelaskan, poster itu diinspirasikan daripada salah satu budaya di Melaka malah pakaian tradisi digayakan tanda hormat kepada warisan negeri tersebut.

Malah, katanya, Konsert Qalam Noraniza Idris itu bakal berlangsung di Panggung Bangsawan Melaka.

“Sebab Melaka dik! Orang Melaka kan pakai sanggul lintang. Tak tahu ke?

“Melaka ada budaya mereka sendiri… Jadi kita masuk ke Melaka kita praktikkan budaya mereka. Bukan Tahun Baharu Cina faham tak?,” tanyanya menerusi sesi siaran langsung yang dibuat di TikTok.

Sementara itu, Noraniza memberitahu, Melaka mempunyai pengaruh budaya yang besar dari negeri China dan memohon orang ramai mengkaji sejarah asal usul negeri tersebut.

“Tangan saya itu bukan seperti gengaman yang dilakukan oleh orang Cina, saya pegang keris. Tengok betul-betul akak punya poster dik. Memang nampak macam Cina sebab Melaka kan mempunyai pengaruh budaya Cina yang besar.

“Contohnya, Dondang Sayang, Baba Nyonya. Kalau lihat bangunan di Melaka semuanya mempunyai pengaruh yang sama. Peminat harus faham dan kaji dari segi sejarah mereka,” ujarnya.

Konsert Qalam mengetengahkan konsep ‘konsep dalam pertandingan’ menghimpunkan kumpulan tarian etnik yang layak ke peringkat kebangsaan untuk mengiringi persembahannya.

Menurut Noraniza, koreografi bagi kesemua persembahannya untuk ketiga-tiga hari adalah berbeza kerana perlu diadili oleh para juri pada malam konsert tersebut.

Konsert yang dianjurkan oleh Tatih Seni Academy dengan sokongan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya akan diadakan selama tiga hari pada 27 hingga 29 September depan. – MalaysiaGazette