'Tak salah jika amalan bukan seperti pemujaan'

'Tak salah jika amalan bukan seperti pemujaan'

am@hmetro.com.my

Gua Musang:Aktiviti tahlil, doa dan tazkirah di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Felda Chiku 1 dan 2 di sini, yang tular baru-baru ini, sudah berlangsung sejak selepas pandemik Covid-19.

Tinjauan Harian Metro di tanah perkuburan itu semalam mendapati, penduduk mula berkumpul di tanah perkuburan pada jam 7.30 pagi.

Di kawasan itu juga sudah tersedia khemah dan kerusi untuk orang ramai yang hadir.

Program dimulakan dengan tahlil dan doa sebelum tazkirah yang disampaikan ustaz jemputan.

Penduduk, Shariah Maarof, 61, berkata, aktiviti berkenaan sudah lebih tiga tahun dilakukan setiap pagi Jumaat.

Katanya, aktiviti itu dilihat sebagai sesuatu yang positif apabila selain penduduk dapat menziarah kubur ahli keluarga, mereka juga dapat meluangkan masa untuk mendengar tazkirah.

“Aktiviti ini mendapat sambutan menggalakkan penduduk di kawasan Felda ini. Saya sendiri setiap pagi Jumaat akan datang untuk menziarah kubur dan mendengar tazkirah.

“Setiap minggu, ustaz yang berbeza datang memberi tazkirah dan mereka adalah ustaz jemputan untuk program ini.

“Bagi saya, perkara ini sangat baik, selain datang menziarah kubur pada pagi Jumaat, kita juga dapat pahala tahlil dan mendengar tazkirah,” katanya ditemui di tanah perkuburan berkenaan.

Mohd Haikal Ismail, 34, pula memaklumkan, dia difahamkan bahawa aktiviti bacaan tahlil, doa serta tazkirah di kawasan tanah perkuburan itu juga sudah menjadi ikutan di beberapa tanah perkuburan lain.

Katanya, aktiviti terbabit boleh menarik lebih ramai penduduk untuk datang ke tanah perkuburan, sekali gus dapat memberi peringatan kepada kematian.

“Program ini sudah lama dan mendapat sambutan daripada semua golongan penduduk, termasuk golongan muda dan kanak-kanak yang datang bersama keluarga.

“Dekat dengan kawasan tanah perkuburan membuatkan kita lebih dekat dan juga selalu mengingati mati.

“Setiap isi ceramah yang disampaikan oleh ustaz jemputan juga memberi peringatan untuk kita menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top