najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Uqasha Senrose enggan mengambil pusing dakwaan rumah tangganya dengan Kamal Adli sedang dilanda masalah.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, berkata, dia juga tidak risau apabila berita tidak benar terus diperkatakan.
“Saya tak rasa apa-apa pun. Apa yang diperkatakan adalah perkara tidak berasas. Selagi benda belum jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan.
“Saya pun tak fikir nak ambil tindakan terhadap orang yang bercakap. Mulut orang kita tak boleh nak tutup,” katanya.
Uqasha ditemui ketika majlis pertunjukan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Menurut Uqasha, dia menegaskan hubungannya dan Kamal masih dalam keadaan baik sekali gus menolak dakwaan kononnya hadir ke mahkamah syariah baru-baru ini kerana wujud masalah antara mereka.
“Kalau saya ke mahkamah mestilah ada nama saya di sana. Kalau betul ada berilah bukti. Mahkamah mana?
“Saya nafikan dakwaan itu sepenuhnya. Selagi boleh, kami mahu jaga sebaik-baiknya rumah tangga ini,” katanya.
Dalam masa sama, Uqasha berkata, tiada keperluan untuk dia berkongsi kemesraan dengan suaminya kepada khalayak di media sosial.
“Dalam rumah tangga ini tidak semua indah belaka. Tak kan saya nak ceritakan hal dalam kain.
“Perlu ke saya kongsi gambar untuk menunjukkan masih bersama Kamal? Saya tak perlu buat semua itu untuk puaskan hati semua orang,” katanya.
Untuk rekod, Kamal mendirikan rumah tangga dengan Uqasha pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang.
Pasangan ini dikurniakan cahaya mata perempuan bernama Hawra Uqaira yang kini berusia 10 bulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd