Tak perlu gusar bantahan dikemukakan China – Penganalisis

Tak perlu gusar bantahan dikemukakan China – Penganalisis

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia seharusnya tidak gusar mengenai bantahan yang dikemukakan oleh China yang mendakwa negara ini melanggar sempadan dibenarkan berhubung penerokaan kawasan minyak dan gas berpotensi di Laut China Selatan.

Geostrategis Prof Azmi Hassan sebaliknya berkata, Malaysia perlu mengambil peluang untuk berbincang dengan China terutamanya apabila negara ini akan menjadi Pengerusi Asean tahun hadapan.

“Percepat (dan) muktamadkan Kod Tatakelakukan (CoC) (di Laut China Selatan) yang hampir 15 tahun berlalu. Sebagai pengerusi, mereka boleh membawa agenda ini.

“Kita jangan masuk perangkap pihak ketiga yang membocorkan rahsia nota bantahan tetapi kita cuba perangkap China supaya berbincang secara perundangan terutama sekali CoC kerana sebagai pengerusi, kita boleh membawa hala tuju Asean.

“Jadi tak perlu bimbang kerana bagus China menggunakan saluran diplomatik untuk menyuarakan bantahan mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Sebelum ini media melaporkan kebocoran nota diplomatik dihantar Beijing kepada Malaysia, yang membantah operasi Petronas di kawasan berkenaan.

Nota terbabit, yang diterbitkan oleh media Filipina, menunjukkan dakwaan Beijing bahawa penerokaan minyak dan gas Malaysia di Laut China Selatan memasuki sempadan wilayah China.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian menyatakan penerokaan kawasan minyak dan gas berpotensi di Laut China Selatan tidak akan dihentikan, walaupun terdapat bantahan dari China yang mendakwa Malaysia melanggar sempadan dibenarkan.

Anwar menegaskan, operasi itu dijalankan di dalam kawasan Malaysia dan tiada sebab untuk melakukan tindakan provokatif terhadap China.

Mengulas lanjut, Azmi turut menggesa agar negara ini berhati-hati dengan kumpulan yang membocorkan nota bantahan itu.

“Ini kerana mereka mahu menjerat atau memerangkap kita seperti terjadi terhadap Filipina kerana pertembungan secara fizikal.

“Sebolehnya kita nak elak pertembungan secara fizikal walaupun sebelum ini China membuat bantahan secara fizikal iaitu menyusuri Beting Serupai (dan) Beting Patinggi Ali.

“Jadi, sekarang ini China menggunakan secara diplomasi, kita selesaikan secara diplomasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd