am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Berbaki dua minggu lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri, wanita ini tidak menang tangan menyiapkan tempahan 10,000 kek lapis Sarawak yang ditempah pelanggan.
Siti Nordiana Daud, 33, menyifatkan Ramadan waktu yang paling sibuk buat dirinya demi memastikan segala tempahan dapat disiapkan mengikut jadual.
Menurutnya, dia yang dibantu empat pekerja sibuk menyiapkan 10,000 kek lapis pelbagai perisa yang ditempah pelanggan.
“Setiap hari selepas bersahur, kami memulakan proses membuat kek dan mampu menyiapkan di antara 300 hingga 400 biji sehari.
“Pembuatan kek lapis ini agak rumit dan ia memerlukan ketekunan serta kesabaran tinggi bagi menghasilkan setiap lapisan,” katanya ketika ditemui di premisnya di Jalan Atas Banggol di sini.
Siti Nordiana yang berasal dari Samariang, Sarawak berkata, dia mempelajari cara pembuatan kek lapis Sarawak daripada ibu saudaranya.
Menurutnya, sebelum ini dia bekerja sebagai promoter di sebuah pasar raya sebelum berhenti kerja sebelum menjual kek lapis secara kecil-kecilan ketika pandemik Covid-19.
“Ketika peringkat awal menjual kek lapis Sarawak, saya mendapat pelbagai komen daripada pelanggan beranggapan ia kurang sesuai dengan tekak pembeli di Kelantan, namun saya tambah baik mutu kek,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd