Tak malu kerja kampung

Tak malu kerja kampung

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Bagan Serai: “Kenapa tak mahu kerja ada KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), kenapa nak kerja macam ini sebab umur muda lagi, tak mahu cari kerja gaji bulan ke?”

Itu antara soalan sering diterima Nur Amira Hanim Hazreen mengenai dirinya yang melakukan pelbagai kerja kampung.

Nur Amira Hanim, 27, melakukan pelbagai kerja kampung seperti mengutip biji atau relai sawit (buah sawit yang jatuh ke tanah ketika dipotong), memotong rumput dan mencari akar tunjuk langit bersama suami, Zaini Ramley, 48.

Nur Amira Hanim berkata, walaupun hanya bekerja kampung namun dia tidak pernah berasa malu dengan pekerjaan itu biarpun pernah dipandang rendah sebaliknya gembira dapat mencari rezeki dengan kudrat sendiri.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah bekerja kilang namun ketika ini rumah jauh daripada kawasan industri selain untuk memudahkannya menguruskan dua anak berusia dua dan lima tahun menjadikan dia memilih bekerja kampung.

“Saya mencari akar tunjuk langit dan apabila ada masa saya akan mencari relai sawit dibantu suami. Kadang-kadang saya akan bantu suami mengambil upah memotong rumput dan saya selesa melakukan kerja ini biarpun ia kerjanya agak berat.

“Saya tak berkecil hati dapat komen yang tanya macam-macam kenapa saya kerja kampung sedangkan masih muda. Bagi saya setiap orang rezekinya tak sama dan saya bersyukur dengan rezeki ini cuma terkilan masih ada yang memandang rendah kerja seperti ini.

“Yang paling penting saya tak menganggur, walaupun kerja kampung tetapi kami masih mampu tampung kehidupan, tidak mengharapkan orang dan paling penting halal,” katanya yang menetap di Sungai Bogak di sini dan mengakui dia juga berusaha mencari kerja lain.

Terdahulu, video perkongsian Nur Amira Hanim mengenai kerjanya sambil mengutip relai sawit meraih tontonan 2.3 juta dan komen netizen yang memuji usahanya dan turut berkongsi cerita mengenai kerja itu selain ada yang masih mengatakan pekerjaan dengan gaji bulanan lebih baik.

Katanya, dia mencari relai sawit secara sampingan di kebun milik orang dengan keizinan pemiliknya terlebih dahulu dan mengakui kerja itu juga lumayan biarpun memenatkan serta tidak ramai warga tempatan melakukannya.

“Sebelum kutip relai perkara paling penting kami akan jumpa pemilik kebun dulu untuk minta izin.

“Pemilik kebun yang saya cari relai memberi keizinan dan hanya boleh mengambil buah yang jatuh ke tanah saja dan perlu menjualnya sendiri.

“Saya dan suami selalunya kutip dalam masa sejam dan boleh dapat RM80 untuk kira-kira 100 kilogram (kg) relai. Kalau cari lebih lama boleh dapat lebih RM100,” katanya.

“Berat buah ikut keadaan juga kalau buah baru dipotong lebih berat berbanding yang sudah lama di tanah. Warna yang lebih gelap adalah buah yang sudah lama jatuh.

“Sebenarnya kutip relai ini membantu pemilik juga kerana jika buah tidak dikutip ia boleh berlaku pencambahan pokok baru jadi boleh mengganggu pokok utama,” katanya yang turut mempunyai kemahiran fasih berbahasa Iban.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia berkongsi aktiviti di TikTok hanya suka-suka sahaja dan tidak menyangka ramai yang berminat mengetahui kerjanya.

“Saya akan beritahu untuk minta izin pemilik kebun sebelum kutip buah sebab kita tak mahu orang kata kita mencuri,” katanya yang pernah menyambung belajar di peringkat diploma tetapi terpaksa berhenti kerana kekangan kewangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd