Tak lawak pun, tapi lebih kepada soal adab sopan

Tak lawak pun, tapi lebih kepada soal adab sopan

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Syawal hanya berbaki beberapa hari lagi. Sepanjang bulan ini, banyak peristiwa menarik berlaku yang boleh kita renungkan dan jadikan pengajaran.

Dalam tempoh kehangatan beraya, media sosial kita dipenuhi dengan pelbagai video-video sama ada yang lucu ataupun menginsafkan yang dikongsikan oleh pengguna.

Dalam banyak-banyak video, penulis tertarik dengan satu video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki bandar yang meraikan Aidilfitri di kampung sedang menerima duit raya daripada seorang wanita dipercayai ibu saudaranya.

Ceritanya, ibu saudaranya meminta kanak-kanak ini mencium pipinya terlebih dulu sebelum mengambil sampul wang raya di tangannya, tetapi dia enggan melakukannya.

Puas dipujuk pun, dia tetap enggan buat apa yang disuruh hingga akhirnya wanita itu mengalah dan serahkan duit raya. Selepas ambil duit raya kanak-kanak ini pun berlalu sambil berkata, “orang kampung, saya tak nak cium.”

Barangkali video ini nampak kelakar di mata segelintir pihak kerana keluar daripada mulut kanak-kanak yang belum akil baligh dan dapat berfikir secara rasional.

Tetapi natijahnya amat besar dari aspek budi bahasa dan adab sopan yang sinonim dengan orang Melayu terutama terhadap orang tua.

Perkongsian video ini di Facebook mendapat reaksi kurang menyenangkan apabila rata-rata pengguna media sosial menyelar perlakuannya.

Mereka melihat tiada unsur-unsur lawak sebaliknya unsur-unsur kurang adab dan kurang ajar yang terlihat daripada diri kanak-kanak ini walaupun masih kecil.

Rata-rata juga menyalahkan ibu bapanya yang dilihat gagal mendidik anak mereka nilai-nilai murni sedari kecil kerana jika tidak dibendung akan mempengaruhi peribadinya sehingga dewasa kelak.

Penulis bersetuju dan sependapat dengan mereka. Bukan saja kanak-kanak bandar tetapi yang di desa juga perlu diajar adab dan menghormati orang tua. Tambah lagi membabitkan saudara-mara.

Pada masa sama, simpati juga terhadap kanak-kanak ini kerana dia masih kecil dan tidak boleh dipersalahkan bulat-bulat. Perakam video ini juga patut dipersalahkan atas tindakannya.

Bayangkan video ini dikongsikan ke merata platform dan kekal boleh ditonton di internet. Sudah tentu ia akan menghantui kanak-kanak ini sehingga dewasa nanti.

Beralih kepada cerita industri hiburan, satu dimensi baru turut tercipta apabila ICON Entertainment mengambil langkah berani menganjurkan Konsert Cipta Raya M N45IR yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini.

Percubaan ini berjaya apabila hampir 2,000 penonton hadir untuk merasai keseronokan beraya di sebalik nostalgia yang dibawa menerusi lirik-lirik yang syahdu dan mengesankan.

Penonton termasuk daripada Gen Z yang membesar di ibu kota turut hadir bagi merasai erti sebenar raya dulu-dulu yang dipenuhi dengan sesi kunjung mengunjung, bersalaman dan bermaafan serta sebagainya.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top