redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Radzwan Kadim, 30, sudah membelanjakan lebih RM40,000 untuk mendapatkan kulit cerah dan wajah diidamkan termasuk menerusi prosedur estetik.
Mesra disapa Eizzwan, eksekutif jualan di sebuah butik berjenama itu berkata, keinginan menjaga kecantikan timbul selepas terpengaruh melihat perubahan kulit rakan yang jadi lebih mulus dan cerah selepas menjalani rawatan.
Disebabkan itu, Eizzwan terjebak untuk mencerahkan kulit seawal usia 18 tahun bermula dengan mengambil minuman kolagen sebelum beranikan diri mengambil suntikan pemutih.
“Sebenarnya, sejak di bangku sekolah lagi saya suka tengok model dalam majalah dan artis di televisyen menjaga penampilan mereka.
“Bermula di Tingkatan Satu, emak mula ajar cuci muka dan jaga wajah. Bila sudah diterapkan pada usia awal, rutin itu jadi kebiasaan sampai sekarang kerana bagi saya, orang akan tengok muka dulu bila jumpa kita.
“Selepas sekolah, saya kerja dan bila tengok kawan buat menjadi, saya ikut dan bila tak nampak hasil diinginkan, saya mula cari tempat rawatan sendiri malah banyak kali juga tak puas hati walaupun sudah cerah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Selain mengambil suntikan pemutih, Eizzwan juga pernah melakukan rawatan meluntur warna kulit pada wajah dan seluruh badannya.
Tidak cukup dengan itu, Eizzwan turut menjalani pembedahan rhinoplasty, membuat lesung pipit dan menaikkan kening.
“Setakat ini, saya puas hati dengan wang dilaburkan kerana apa saya nak, saya dapat. Tapi sebelum buat sesuatu prosedur, saya dapatkan dulu nasihat doktor untuk tahu apa yang boleh juga tak dalam tempoh rawatan.
“Bagi saya, ‘beauty is pain’ dan apa pun yang berlebihan boleh memudaratkan. Jika dulu saya ambil suntikan pemutih seminggu sekali kemudian cuba kawal diri dengan ambil dua kali saja dalam sebulan,” katanya.
Menurut Eizzwan, keluarga terutama ibunya tahu apa yang dilakukan dan melihat tiada salahnya untuk golongan lelaki mendapatkan kulit bersih, cantik dan cerah.
“Cantik atau kacak itu subjektif dan kalau tengok generasi sekarang lebih terbuka dalam menjaga kecantikan kulit.
“Bagi saya, kulit cerah nampak bersih dan menarik tapi tak bermakna mereka berkulit gelap tiada keistimewaan kerana ada saja wanita suka melihat lelaki begitu. Segelintir wanita pula suka lelaki berkulit cerah macam artis K-pop jadi terpulang cita rasa masing-masing.
“Untuk lelaki yang minat atau obses jaga kulit, teruskan. Abaikan apa orang nak kata kerana kalau itu bantu naikkan keyakinan apa salahnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd