najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Walaupun hujan, namun lebih 8,000 peminat setia Maroon 5 tidak berganjak dan memenuhi Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini, bagi menyaksikan persembahan hebat kumpulan pop rock popular dari Amerika Syarikat itu, malam tadi.
Malah, kesetiaan peminat terhadap kumpulan itu cukup kuat dan tidak luntur apabila masing-masing enggan melepaskan pengalaman menyaksikan idola mereka beraksi secara langsung.
Konsert itu adalah sebahagian daripada siri jelajah Maroon 5 Asia 2025 yang membawa mereka ke beberapa negara di rantau ini.
Lebih menarik, penyanyinya, Adam Levine bukan sekadar memukau dengan vokalnya, tetapi turut menunjukkan kemahiran bermain gitar.
Aksi spontan Levine ketika ‘menggoreng’ gitar elektrik menerusi lagu Sugar menambahkan keterujaan penonton.
Walaupun Levine tidak banyak berbicara sepanjang hampir satu jam 30 minit konsert itu berlangsung, namun tidak mengurangkan kehangatan persembahan.
Bagaimanapun, Levine memberitahu mereka gembira untuk berada di Kuala Lumpur untuk siri jelajahnya itu.
“Kami sangat gembira untuk berada di sini. Sudah lama tidak ke sini,” katanya sambil menuju ke depan pentas walaupun hujan.
Setiap lagu yang dimainkan terus menghidupkan suasana, tanpa memberi ruang kepada peminat untuk berehat.
Dari lagu pembukaan sehingga ke lagu terakhir, Maroon 5 memastikan setiap detik konsert dipenuhi dengan tenaga dan emosi yang mendalam.
Antara lagu yang paling dinanti-nantikan ialah Stereo Hearts, She Will Be Loved, One More Night, This Love, Girls Like You, dan Memories yang mendapat reaksi luar biasa daripada penonton.
Sementara itu, sebelum Maroon 5 beraksi dengan penuh lincah kira-kira jam 8.15 malam, di sebelah petang berlangsungnya persembahan pembukaan daripada kumpulan Culture Wars.
© New Straits Times Press (M) Bhd