JAGUH muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar tewas kepada bintang Colombia, Johan Estupinan dalam pertarungan ONE 170 di Impact Arena, Bangkok, Thailand sebentar tadi.
Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo bagaimanapun menampilkan aksi bertenaga dalam petarungan tiga pusingan flyweight itu, sebelum tewas menerusi keputusan pengadil.
Ini adalah kekalahan kedua buat petarung berusia 18 tahun dari Sarawak itu daripada lapan penampilan di pentas ONE Championship.
Sebagai persiapan berdepan Estupinan, Johan berguru selama tiga bulan di Superbon Traning Camp, Thailand dengan legenda muay thai, Superbon Singha Mawyn dan bekas juara, Petchatanong Petcfergus dan Nong-O Hama.
Bagi Estupinan pula, kemenangan ke atas Johan melebarkan rekod sempurnanya kepada 27-0.
Sebagai rekod, Estupinan yang dikenali sebagai Panda Kick pernah mengalahkan abang Johan, Elias di Kejohanan Dunia IFMA Muay Thai pada 2021.
Dalam aksi terakhirnya sebelum ini, Johan bangkit daripada kekalahan di tangan Nguyen Tran Duy Nhat dari Vietnam dengan kemenangan 'knockout' (KO) ke atas jaguh Mexico, Josue Cruz pada ONE 168: Denver di Ball Arena, Denver, Colorado, Amerika Syarikat pada September lalu.
Kemenangan itu bukan sahaja memperbaiki rekodnya dalam ONE Championship kepada 6-1, malah Johan turut membawa pulang bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (kira-kira RM222,000).