hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melakukan siasatan terperinci dan tindakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap syarikat kenderaan terbabit nahas lima kenderaan di Melaka, semalam.
Ia bagi meneliti pelbagai aspek keselamatan terutama berkaitan teknikal.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya kesal dengan berlakunya beberapa kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan beberapa hari kebelakangan ini, terutama nahas di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Alor Gajah, Melaka.
Menurutnya, pihaknya memandang serius trend kemalangan yang membabitkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain dan mengambil langkah penguatkuasaan yang lebih tegas meliputi beberapa perkara.
“JPJ akan menjalankan tindakan baharu dan melipatgandakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan khususnya melibatkan kesalahan teknikal kenderaan.
“Kami akan menambah kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berkaitan pemeriksaan penyalahgunaan dadah oleh pemandu, juga kami akan menyemak prosedur pemeriksaan berkala kenderaan perdagangan ini yang dilakukan oleh Puspakom Sdn Bhd atau pusat pemeriksaan kenderaan dilantik.
“JPJ akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Ia bagi memeriksa dan memantau bengkel yang berdaftar dan juga bengkel haram yang disyaki menyediakan perkhidmatan menyewa peralatan bagi tujuan pemeriksaan di pusat pemeriksaan kenderaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Aedy berkata, selain itu JPJ akan menilai semula dan menambah baik latihan dan kursus kepada pemandu kenderaan perdagangan dan menambah elemen pematuhan dan pengetahuan teknikal kepada pemandu sebelum sijil dikeluarkan.
“Tahun 2025 akan dijadikan tahun penguatkuasaan dengan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang ada cubaan bersubahat melakukan kesalahan teknikal, terutamanya berkaitan kenderaan perdagangan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga menegaskan kepada semua pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa bertanggungjawab dalam mematuhi peraturan jalan raya.
“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dilaksanakan terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Laporkan aduan berkaitan kesalahan membabitkan kenderaan perdagangan secara terus atau real time menggunakan Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd