Tahun Melawat Perlis langkah awal ke arah TMM 2026

Tahun Melawat Perlis langkah awal ke arah TMM 2026

am@hmetro.com.my

Kangar: Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 adalah kempen yang penting dan langkah awal menuju ke Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, agar semua pihak yang berkepentingan dalam sektor pelancongan untuk meningkatkan usaha dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Inisiatif ini penting untuk memaksimumkan ekonomi kita dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di peringkat global.

“TMPs adalah langkah awal menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 dan beta rasa gembira dan bangga menjemput semua delegasi untuk meneroka bentuk muka bumi dan keindahan yang tenang serta keajaiban tersembunyi yang terletak di Wilayah Utara Malaysia iaitu Perlis,” titah baginda ketika merasmikan Asean China Heritage Dimension of National Arts (DNA) di sini malam ini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Presiden Warisan ASEAN China, Azharuddin Ramli atau lebih dikenali sebagai Arja Lee.

Titah baginda, pihaknya berharap semua pihak dapat meneroka pelbagai tempat menarik di negeri Perlis.

“Ini termasuklah Projek Transformasi DiRaja melengkapkan Kampung Warna Warni Seberang Ramai, Muzium Kota Kayang, Batik Inderawasih dan nikmati pelbagai hidangan lazat dan menarik yang ditawarkan oleh restoran dan kafe di negeri ini.

“Selamilah keindahan tenang Perlis ‘The Undeniable Charm’ dan nikmatilah keindahan semula jadi Perlis,” titah baginda.

Terdahulu, baginda berkenan menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk persembahan penglipulara terkenal ‘Awang Batil’.

Malah, majlis turut diserikan dengan pelbagai koleksi busana pakaian tradisional dari negara serantau dan China.

© New Straits Times Press (M) Bhd