am@hmetro.com.my
Tapah: “Tahun ini macam tak raya laa,” kata anak kedua kepada mangsa dua beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 332.4 Lebuhraya Utara Selatan, Nur Atiqah Qistina Abd Aziz, 17, ketika ditemui dekat perkarangan Unit Forensik Hospital Tapah, hari ini.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa ke atas ayah dan abangnya selepas jiran datang ke sekolah untuk memaklumkan perkara terbabit.
Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan ayahnya melalui sistem pesanan ringkas (SMS), kelmarin.
“Ayah dan abang pergi bekerja pada tiga hari lepas dan sepatutnya mereka berdua pulang, hari ini.
” Saya memang terkejut bila dapat tahu ayah dan abang sudah tiada. Memang tidak sangka mereka pergi,” katanya.
Nur Atiqah Qistina berkata, ibu mereka sudah menyiapkan pakaian untuk keluarga menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
Sementara itu, sepupu mangsa, Fatin Nabilah Abdullah, 28, berkata arwah (Abd Aziz) memang seorang yang baik dan senang bergaul dengan ahli keluarga lain.
Katanya, arwah juga suka mengambil berat dan masih teringat lagi layanan baik arwah ketika kanak-kanak.
“Saya dapat tahu tentang kejadian melalui kumpulan WhatsApp keluarga dan memang saya rasa terkejut sertasedih selepas menerima berita duka kira-kira 10 pagi tadi.
” Arwah memang seorang yang baik dan sentiasa mengambil berat tentang keluarga,” katanya.
Fatin Nabilah berkata, kedua-dua arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pokok Tai Lama, Pendang.
© New Straits Times Press (M) Bhd