am@hmetro.com.my
Seremban: Jika peniaga bazar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) Kuala Lumpur bersungut susulan kurangnya kehadiran pelanggan namun situasi berbeza dialami peniaga bazar di Dataran Senawang, di sini.
Rata-rata mereka menarik nafas lega susulan kehadiran ramai pelanggan selain sambutan menggalakkan diterima sejak awal Ramadan lalu.
Malah ada antara mereka yang sudah menambah stok jualan terutama peniaga pakaian bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Pekerja kedai menjual baju kurung dan baju Melayu, Ayu Irsyawana Izzah Jaafar, 22, berkata, Ramadan tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu apabila dia lebih banyak termenung menunggu pelanggan.
“Hasil jualan tahun ini lebih baik kerana orang mula datang membeli pada minggu pertama bazar dibuka. Kehadiran pengunjung pada hari bekerja turut memberangsangkan,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu peniaga pakaian tradisional, Mazlan Subari, 33, berkata, pengalaman berniaga tahun lalu adalah terburuk pernah dialami sejak 10 tahun berniaga bazar Ramadan.
“Bukan hanya saya malah semua peniaga berdepan situasi sama. Tahun paling `sakit’ buat peniaga adalah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika wabak Covid-19 melanda.
“Tapi Alhamdulillah, keadaan pulih tahun ini dan ramai pelanggan datang membeli. Kami dah boleh bernafas,” katanya.
Sementara itu, pekerja kedai menjual seluar, Ahmad Danish Ahmad Idris, 20 berkata, dia sudah tiga kali menambah stok jualan berikutan sambutan yang agak baik daripada pelanggan.
“Tahun ini lebih baik. Saya dapati orang ramai membeli lebih awal.
“Kami pun ambil langkah turunkan harga jualan iaitu daripada RM100 untuk tiga helai seluar kepada RM100 bagi empat helai seluar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd