Ipoh: Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Perak (MKJR) menjangkakan hampir tiga juta kenderaan akan memasuki Perak menjelang Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 29 Januari.
Timbalan Pengerusinya Datuk Nor Sham Rahman berkata jumlah trafik ke Utara tanah air melalui Perak akan mengalami peningkatan bermula 27 dan 28 Januari, termasuk dua hari selepas perayaan iaitu Sabtu dan Ahad.
“Kita jangkakan bermula dari Tanjung Malim ke Parit Buntar tidak kurang daripada 2.5 hingga 3 juta (kenderaan) termasuk yang gunakan jalan Persekutuan akan melalui negeri ini, khususnya pada waktu puncak.
“Bagi mengurangkan kesesakan, pengguna terutamanya dari Kuala Selangor, Banting dan Sabak Bernam dinasihatkan menggunakan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sampai ke Changkat Jering dan keluar semula ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Selamat Di Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina 2025 di sini hari ini.
Program itu turut melibatkan penukaran minyak enjin kepada 200 motosikal secara percuma, 200 penukaran topi keledar percuma, 50 kupon cucian kereta, selain pameran reruai agensi kerajaan dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan.
Nor Sham turut menyarankan pengguna lebuh raya mematuhi cadangan waktu perjalanan bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan selain mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd