Selepas beberapa tahun menjalani kehidupan solo, pelakon Natasha Hudson kembali mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan hatinya Jay Jasmin di Masjid Al Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor semalam.
Menurut laporan mStar Online, pelakon berusia 40 tahun itu meluahkan kesyukuran apabila sekali lagi bertemu jodoh selain menyifatkan memiliki banyak persamaan dengan suaminya itu.
Natasha berkata, dia telah melalui beberapa pengalaman yang menjadi pengajaran penting bagi mengenali seseorang individu sebelum membina kehidupan bersama.
“Jay seorang yang sangat menakjubkan sejak hari pertama saya jumpa dia. Dia sangat memahami dan kami berkongsi banyak persamaan. Saya rasa sangat bahagia dengan penerimaan keluarganya.
“Dalam hidup ini tak ada sesiapa yang nak lalui apa yang saya dah lalui. Saya yakin dia adalah yang terbaik untuk saya. Seseorang yang hadir dalam hidup dan saya berdoa kepada Allah agar kami kuat untuk bersama sampai bila-bila,” katanya.
Tampil mengenakan persalinan sedondon berwarna peach, pasangan itu melangsungkan majlis resepsi secara sederhana yang diraikan oleh ahli keluarga dan rakan-rakan di kediaman pengantin lelaki.
Bercerita lanjut, pelakon filem Langgar itu mula mengenali suaminya sejak tahun lalu ketika menyertai aktiviti luncur ombak di Langkawi, Kedah.
Sementara itu, Natasha juga tidak lupa memohon doa orang ramai agar rumah tangga dibina kali ini kekal sejahtera dan bahagia.
“Doakanlah Allah bantu bimbing dan memberkati perjalanan perhubungan kami ini,” kongsinya.
Meninjau ke InstaStory miliknya, dia berkongsi semula beberapa posting dimuat naik rakan terdekat yang mengucapkan tahniah atas perkahwinan tersebut.
Untuk rekod, perkahwinan pertamanya bersama Mohd. Faiz Mohd. Raih pada 2006 hanya bertahan selama empat bulan.
Natasha kemudian berkahwin dengan ahli politik, Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007 dan bertahan selama dua tahun. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Neesa Helena, 14.
Pada 2012, Natasha bertemu jodoh dengan penyanyi hip hop Khalid Kamal namun bercerai pada 2018. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Naeema Khaleela, 9, dan Faatimah, 7.
Natasha seterusnya berkahwin dengan seorang ahli perniagaan Noor Nashriq Sekarnor pada 7 Disember 2018, namun berpisah pada Oktober 2019.
Sumber: mStar Online , Instagram Natasha Hudson & MedionzStudio